CERPEN : Pelangi Setelah Mendung (EDISI KHAS HARI GURU)


PELANGI SETELAH MENDUNG
Story by : Nurliyana Zolkibli

Pagi isnin yang menjadi kelemahan buat semua. Memulakan hari berkerja yang menjadi permulaan kepada empat hari berikutnya. Hana merupakan seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah tadika swasta. Kerjaya seorang guru menjadi pilihannya walaupun itu bukanlah apa yang dia usahakan selama tiga tahun pengajiannya di Universiti. Teringat saat kali pertama dia menghadiri sesi temuduga untuk menjadi seorang guru di tadika tersebut.

"Kenapa awak nak kerja sini"

"Saya nak kerja sini sebab saya minat, saya minat dengan kanak-kanak dan minat untuk mengajar"

Hanya berbekalkan minat, ia memberi keyakinan kepada pihak pengurus dan melayakkan dirinya berkerja di sekolah tersebut.

Pacuan empat roda dipandu mengharungi jalan raya dan beberapa lampu isyarat yang taat menjalankan tugasnya memastikan pergerakan kenderaan di jalan raya teratur dengan baik. Seawal 6.30 pagi pekikan enjin kereta Hana sudah memecahkan kesunyian pagi.

Hari ini genap sebulan Hana bertugas. Dia masih baru namun sangat disenangi oleh pengurus dan guru-guru yang bertugas.

#ringggg ringggg

Sebaik tiba di sekolah, telefon bimbitnya berdering dan panggilan diterima dari pengurus tadika.

"Assalammualaikum, Hana. Saya nak maklumkan, harini ada pelajar baru akan masuk, awak tolong uruskan borang ya"

"Baik puan, nanti saya uruskan"

"Terima kasih ya"

"Sama-sama puan"

Tamatlah perbualan ringkas itu. Pelajar baru akan masuk hari ini. Tepat jam 7 pagi sebuah kereta hitam berhenti di hadapan tadika. Terlihat ibu bapa membawa anaknya menuju masuk ke dalam tadika.

"Assalammualaikum cikgu". Bapa pelajar tersebut memberi salam

"Waalaikummussalam"

"Ni anak saya Muaz, 5 tahun". Jelas bapanya.

"Oh, pelajar baru ya, masuk la dulu nanti saya serahkan borang pendaftaran"

Sebaik sahaja semua urusan selesai, kedua ibu bapa ini melangkah pergi namun si anak meronta ingin mengikut mereka pulang. Guru terpaksa menahan dan menutup semua pagar bagi memastikan keselamatan pelajar. Pelbagai pujukan diberikan namun Muaz tetap meronta ingin keluar sambil menggoyang-goyangkan pagar dengan sekuat hatinya. Jeritanya boleh didengari penduduk di sekitar kawasan sekolah. Beberapa saat guru membiarkannya dan tangisan semakin reda, hanya kedengaran suara teresak-esak kepenatan.

"Muaz, jom kita mewarna, teacher lukiskan muaz gambar ayam ya"

Perlahan dia mengikuti Hana. Syukur dia tidak lagi memberontak.

Ayam dilukis dengan teliti tanpa khidmat digital. Muaz mula mewarna. Tiba-tiba dia terguna warna yang dia tidak inginkan dan meminta guru untuk memadamkan warna tersebut. Sedaya upaya warna cuba dipadam namun tidak dapat dihilangkan sepenuhnya. Muaz mula merungut.

"Az nak padam ni....az tak kira...az tak nak warna ni"

"Teacher dah padam ni. Az tutup la dengan warna lain yang Az nak"

"Tak nak...Az nak padam....Az nak padam...Az tak nak....Az nak padam"

Muaz mula meronta dan melompat-lompat sambil menghempas badannya ke atas lantai. Guru lain cuba memujuk namun gagal, sebaliknya dia membuat serangan dengan menarik tudung dan baju salah seorang guru. Pelajar lain hanya mampu memerhati dan memandang simpati. Ada yang mendekati sambil memeluk guru mereka. Guru tetap sabar dan akhirnya mula bertegas untuk mendidik. Muaz diam seketika sehingga tersisa esak tangisnya.

Muaz duduk dengan seorang guru yang agak garang dan amat tegas dengan pelajar iaitu Teacher Sha, sementara pelajar lain meneruskan sesi pembelajaran. Beberapa minit kemudian, tiba-tiba pintu kelas diketuk. Susuk tubuh kecil masuk menghampiri Hana. Tangan dihulurkan tanda memohon maaf.

"Az minta maaf". Suara sayu itu meruntun jiwa.

Dengan wajah yang masih basah dengan air mata, Hana mengesatnya dengan tangan sebelum memberi pelukan tanda kemaafan diterima.

Sebuah hari yang sangat mengharukan. Benar kagum dengan cara guru yang berjaya melenturkan hatinya. Selepas kejadian itu, kejadian yang sama masih tetap berlaku namun maaf tetap terlafaz darinya pada akhir kejadian sehingga perkara tersebut tidak lagi pernah berlaku.

Hari demi hari dilalui guru dengan pelbagai peristiwa dan kenangan. Masa juga berlalu begitu pantas. 16 Mei 2018 merupakan sambutan hari guru yang pertama kali disambut oleh insan bernama Hana. Pelbagai perasaan dirasai melihat anak muridnya yang berjaya menghafaz surah, membaca al-quran, membaca rumi, menutur bahasa inggeris, menghitung angka, dan membaca jawi di awal usia 5 tahun. Terharu melihat anak murid yang langsung tidak dapat menyebut ayat pertama surah An-naba' akhirnya dalam beberapa bulan berjaya menghafaz 40 ayat. Dia lah si cilik bernama Muaz.

Sambutan hari guru pada waktu itu disambut sederhana dengan sedikit jamuan buat pelajar dan pelajar masing-masing membawa hadiah penghargaan buat guru mereka.

Muaz tidak terlepas dengan hadiahnya. Ibunya memberitahu guru; Muaz sangat teruja untuk memberi hadiah buat guru-gurunya. Hadiah yang diberikan hadir dalam bentuk yang berbeza atas permintaan dan pilihannya. Ada 3 hadiah yang dibawa Muaz untuk gurunya, ada yang besar dan ada yang kecil. Sudah pasti hadiah yang besar adalah untuk guru yang telah berjaya melentur hatinya dengan baik iaitu Teacher Sha. Dan Hana pula mendapat hadiah yang sederhana kecil namun isinya begitu bermakna.

"Cikgu, kenapa Az rasa macam mata Az berair".

"Az nak nangis ke?". Usik Hana.

"Tak la". Az berlalu pergi menafikan perasaannya.

Jelas sekali dia rasa terharu dengan hari-hari yang dilalui bersama guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah itu sehingga dia menyatakan bahawa dia sangat suka sekolah itu dan bila cuti persekolahan yang sangat lama, dia akan sering bertanya dengan ibunya kenapa cuti terlalu lama, dia sangat merindui sekolah.

Pencapaian Muaz telah membuka mata guru. Bukanlah ganjaran yang harus kita kejarkan untuk menjadi seorang guru. Cukup sahaja melihat hasil didikan yang begitu ketara hasilnya. Muaz merupakan pelajar yang sangat pintar matematik. Berikan sahaja angka puluhan ribu, pasti dia dapat menjawabnya. Seawal 5 tahun juga berjaya membaca dengan lancar. Begitu juga dengan pelajar lain yang nyata membuat guru lebih bangga melihat pencapaian mereka.

Ingatlah para guru atau pendidik, sematkan ikhlas dalam hati setiap kali menyemai ilmu di dada anak didikmu. Tanpa ikhlas seorang guru, ilmu tidak mudah untuk sampai kepada pelajar. Niatkan pada diri kita walau berapa pun ganjaran yang kita perolehi, banyak atau sedikit, ia bukan masalah untuk kita terus mendidik. Akhir kata, ingatlah, ilmu yang diamalkan dan diajarkan akan berterusan memberi pahala buat kita yang mengajarkannya. Semoga murid akan lebih menghormati guru mereka kerana tanpa guru, kita tidak akan terbentuk menjadi insan yang mencintai ilmu.

Guru diibaratkan seperti pelangi yang hadir setelah hujan. Setelah mendung berakhir, ia muncul untuk mencorakkan langit dengan pelbagai warna. Begitulah resamnya seorang guru yang memberi pelbagai ilmu bagi mengisi jiwa anak didiknya.

Firman Allah dalam Al-Quran :
يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍۢ

“Supaya Allah ta’ala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat” 

(Surah Al-Mujaadalah: Ayat 11)

Comments