CERPEN : Tongkat Dunia


Tongkat Dunia
Story By: Nurliyana Zolkibli

“Eh cepatnya dah asar… rasa macam baru je tadi masuk waktu zohor”. Wahid membebel sendiri.

“Memang la cepat, zohor kau tadi jam berapa?”. Aiman mencelah.

“Alaa kau pun tak kejutkan aku”

“Aku pulak dah yang salah. Dah berbuih aku duk bersyair depan kau tadi. Tu nasib baik la kau bangun, kalau tak bangun jugak, aku panggil budak-budak datang sembahyangkan kau”

Wahid hanya tersenyum dan tidak ada apa yang ingin dibahas kerana dia tahu akan kesalahannya.
--------
“Wahid, aku nak keluar belanja. Kau nak ikut tak? Atau kau nak kirim je?”

Wahid tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Aiman kerana dia menggunakan headphone dengan volume yang dipasang pada tahap maksimum.

“Wahid!”. Aiman menepuk bahunya dan Wahid sedikit terkejut.

“Haa pa dia?”

“Aku cakap, aku nak keluar, nak kirim barang ke atau nak ikut sekali?”

“Oh, tak ada la…nanti aku nak apa-apa aku pi beli sendiri”. Wahid menyambung kerjanya tadi.

Aiman geleng kepala melihat kelakuan Wahid sambil tangannya mencapai kunci kereta yang diletakkan di atas meja.
--------
Tiba di pasar, Aiman terus mencari barang-barang keperluannya.

“Ya....anak muda, nak cari apa?”. Seorang pakcik yang  berusia awal 50an tiba-tiba bertanya.

“Saya nak cari ikan putih…”

“Oh ikan putih, pakcik belum ambil nak, esok mungkin ada”

“Tak apa la pakcik, kalau macam tu, bungkuskan saya sotong ni sekilo”

Pakcik itu terus mengambil sotong dan memasukkan ke dalam plastik sebelum menimbangnya.

Setelah itu Aiman terus berjalan mencari keperluan lain. Tiba-tiba, langkahnya terhenti di hadapan sebuah kedai buku. Matanya tajam melihat sebuah buku yang bertajuk ‘aku bukan jahil’

“Eh, rasa macam nak tengok, tapi tak kan la nak bawak sotong ni sekali”. Detik hati Aiman.

Dengan segera dia menuju ke kereta dan meletakkan sotong itu sebelum berpatah balik ke kedai buku tadi.
-----------
Tiba di dalam kedai buku itu, dia mencapai buku yang dilihatnya tadi. Dia terniat untuk membeli buku itu. Selesai membayar, dia keluar dan meneruskan niatnya untuk mencari barang keperluan yang belum sempat dibeli.

Tiba di rumah, Aiman melihat Wahid yang masih dengan posisi dan kedudukan yang sama sejak awal dia keluar berbelanja tadi. Tapi Wahid telah terlelap di hadapan laptopnya. Rasanya dia terlalu kenyang bermain game. Waktu maghrib pun sudah dekat, Aiman lalu mengejutkan Wahid untuk mengajakknya solat maghrib berjemaah.

“Wahid!! Bangun…maghrib dah ni”

Wahid membuka sedikit matanya dan hanya mengaggukan kepalanya sebagai isyarat. Aiman terus menuju ke tandas untuk berwuduk.
Setelah selesai berwuduk, Aiman keluar dan memerhatikan Wahid yang masih berada di posisi yang sama. Aiman tidak mahu untuk memberkata apa lagi dia terus menuju ke biliknya untuk menunaikan solat.

Beberapa minit kemudian.

“Yaasiin…walqurannilhakim…innakalaminalmursalin…”

Dalam lelap, telinga Wahid dapat menangkap suara bacaan surah Yaasiin itu. Siapakah gerangan yang membacanya? Soal hati kecil Wahid. Semakin diamati, bacaannya semakin kuat dan jelas kedengara. Untuk mendapatkan kepastian, wahid menggagahkan matanya untuk dibuka. Setelah dia membuka matanya, kepalanya pula diangkat perlahan-lahan untuk memerhati keaadaan sekeliling.

“Allahhuakhbar!”

Wahid tidak semena-mena mengucapkan takbir sebaik sahaja melihat Aiman yang sedang duduk bersila di sebelah kerusinya sambil khusyuk membaca surah Yaasiin. Memang jelas dan tidak hairanlah bunyi bacaan itu semakin kuat kedengaran.

“Hey, Man…kau buat apa mengaji kat sini?”. Tanya Wahid kehairanan.

“Bro, waktu maghrib dah suntuk bro”. Aiman berhenti seketika sebelum menyambung bacaannya.

Wahid pantas melihat jam tangannya dan dengan pantas seperti halilintar dia berlari ke tandas untuk berwuduk. Pantasnya tidak terkata sehingga dia hampir tertiarap dia atas lantai. Nasib saja tahap ketangkasannya untuk mengelak dari kejatuhan itu tinggi. Penguasaan ilmu fiziknya begitu baik.

Melihat kelakuan Wahid, Aiman hanya menggelengan kepalaannya sambil tersenyum beberapa saat. Wahid sebenarnya terlebih-lebih dalam lakonan. Aiman cukup faham dengan Wahid. Sudah kerap dia menasihati Wahid agar tidak meninggalkan solat. Wahid hanya akan solat apabila disuruh oleh Aiman kerana dia tidak ada alasan untuk mengatakan tidak kepada Aiman. Bila tidak disuruh untuk solat, sehari suntuk solatnya kelaut.

“Allah..”

Bunyi tulang lutut Aiman kedengaran. Aiman bangun dari tempat duduknya dan menuju ke bilik untuk meneruskan mengaji sementara menunggu waktu Isyak.
------------
Jam hampir menunjukkan jam 10 malam. Aiman melihat Wahid masih di ruang tamu sedang khusyuk bermain dota.

“Wahid, ni hah. Baca”. Aiman menyerahkan buku yang baru dibelinya semasa ke pasar tadi.

“Buku apa ni?”. Wahid mengambil buku itu dengan wajah yang masih dalam persoalan.

“Baca je la, aku belikan untuk kau”

“Haha..Mimpi apa kau belikan aku buku ni?”

“Aku mimpi kau nak kena baham dengan naga, pastu kau cuba nak bertukar jadi Kamen Kaider tapi tak jadi-jadi sebab tali pinggang Kamen Rider kau dah rosak. Pastu aku datang bagi kau buku. Hah macam tu la ceritanya”

“Man…....man… aku serious  ni. Apa ni tajuknya?, “aku bukan jahil”?. Kenapa  tiba-tiba bagi aku buku macam ni?”

“Kau bace je la. Baca, jangan tak baca. Ingat!”.

Aiman terus beredar.

“Eh Man….aku tak abis cakap lagi ni”. Wahid melihat buku itu sambil menggaru-garu kepalanya yang tiba-tiba gatal.
---------
Keesokan harinya adalah hari minggu. Aiman bangun awal untuk mencuci pakaiannya yang sudah dua hari disimpan kerana tidak sempat mencucinya disebabkan jadual kelasnya yang terlalu padat.

Sedang sibuk menyental dan memberus segala kekotoran pada pakaiannya. Tiba-tiba Wahid menjerkahnya dari belakang.

“Aimannnn!!!”

“Eh....tikus cantik…!!”

“Allah. Man, kenapa buruk betul kau melatah hahaha”. Wahid ketawa tidak henti-henti.

“Tak guna kau Wahid”. Aiman hampir sahaja menyiram segayung air ke arah Wahid tetapi niatnya terbatal.

“Hahahaha. Sabar Man…Orang beriman tu harus sabar”. Wahid terus beredar namun ketawanya masih tersisa.

Mendengar kata-kata Wahid. Aiman terus beristighfar di dalam hati sambil mengurut-ngurut dadanya.

“Buruk jugak aku melatah”. Aiman menyambung kerjanya sambil tersenyum sendiri mengenang apa yang terucap dari mulutnya sebentar tadi.

“Man, aku pinjam kereta kau, nak keluar kejap”. Wahid bersuara dari ruang tamu.

“Haa…pinjam la. Isi minyak penuh-penuh”. Aiman membalasnya dengan nada yang kuat kerana pintu tandas ditutup, dikhuatiri Wahid tidak mendengarnya dengan jelas.

Wahid kemudiannya keluar bersama kereta Aiman. Ke mana tujuannya tidak diketahui. Aiman semakin malas nak menyoal siasat urusan kehidupan rakan serumahnya itu.

Setelah selesai mencuci pakaian, proses menyidai pakaian pula dilakukan. Dilihat di ampaian, penuh. Penuh dengan pakaian Wahid. Tapi semua pakaian itu sudah kering. Sudah sangat kering sehingga kelihatan keras seperti keropok. Aiman menggeleng kepala seketika mengenangkan sikap Wahid yang sangat pemalas. Tanpa berfikir panjang, Aiman mengangkat sahaja pakaian-pakaian Wahid agar dia dapat menyidai pakaiannya.
Aiman mengangkat bakul pakaiannya setelah selesai menyidai pakaian. Bakulnya diangkat dan diletakkan di sebelah meja Wahid untuk memasukkan pakaian-pakaian Wahid yang dikumpul diatas mejanya. Sedang memasukkan pakaian Wahid ke dalam bakul, Aiman terlihat buku-buku yang tersusun di atas meja Wahid. Matanya tajam memerhatikan buku yang dibelikannya untuk Wahid semalam. Buku itu disusun rapi dan ditindih di bawah beberapa buah buku yang jauh lebih tebal. Wahid pastinya tidak mempunyai perasaan untuk membaca buku itu. Sebab itu dia meletakkannya di kedudukan paling bawah.
Aiman mengambil buku itu dan meletakkannya di tengah-tengah meja supaya Wahid terdetik hati untuk membacanya.

Kenapa? Kenapa dengan buku tu? Kenapa Aiman ingin sangat Wahid membacanya? Kenapa?

Sebenarnya, sebelum menyerahkan buku itu kepada Wahid, Aiman sudah selesai membacanya. Bukunya tidaklah tebal mana. Sempat juga untuk Aiman menghabiskannya dalam beberapa jam.

Sebenarnya Aiman merasakan bahawa situasi yang cuba disampaikan oleh buku itu sangat kena dengan situasi yang sedang dihadapi oleh Wahid.

Diceritakan di dalam buku itu bahawa sebenarnya tidaklah semua manusia itu jahil. Namun, kenikmatan di dunia membuatkan mereka lupa segala-galanya. Itulah dunia, tidak semua manusia sedar tentang tipu daya dunia.

Diibaratkan bahawa manusia adalah seperti orang buta yang diberikan tongkat untuk mencari jalan menuju ke destinasi sebenar mereka. Malangnya ada manusia yang sombong, hidup dengan perasaan dan kata hati sendiri, tidak mahu menerima tongkat tersebut lalu mereka membuangnya. Tetapi, mereka masih terus berjalan dengan riang dan gembira dalam keadaan teraba-raba mencari arah. Tidak ada seorang pun di antara mereka itu sedar bahawa tongkat itu berguna untuk mereka. Mereka menganggap bahawa mereka kuat, mereka menganggap bahawa mereka mampu untuk meneruskan hidup tanpa bantuan. Namun, mereka sebenarnya silap.

Aiman merasakan bahawa Wahid sebenarnya memerlukan seseorang yang boleh menjentik hatinya untuk berubah. Bagi Aiman, Wahid lah si buta yang sedang teraba-raba mencari arah untuk berjalan sehingga dia berkali-kali melanggar Aiman yang sedang berjalan bersama tongkatnya.

Ya, berkali-kali dilanggar sewaktu dalam perjalanan ke destinasi adalah sangat tidak disenangi, dan tidak ada cara lain yang dapat menghentikannya melainkan si buta yang bersama tongkat itu, memimpin tangan si buta yang kehilangan tongkat untuk sama-sama berjalan menuju ke destinasi mereka.

Aiman berharapkan dengan buku ini Allah akan memberikan cahaya hidayah buat sahabatnya.

Sangat tinggi bahasa komsas yang digunakan di dalam buku itu. Tetapi, mereka yang memahami pasti dapat menterjemahkannya kepada keadaan realiti manusia.
----------
Jam menunjukkan tepat pukul 10 malam. Wahid baru sahaja pulang ke rumah. Dia menggantung kunci kereta Aiman di tempat penyangkut kunci dan terus sahaja menuju ke meja belajarnya. Wahid terpaku seketika melihat buku di atas mejanya.

“Eh, setahu aku, buku ni aku dah susun kat bawah. Macam mana boleh ada kat sini lagi?”
Hati kecilnya tertanya-tanya.

“Ah, ni mesti kerja Aiman. Takde lain la”
Dia sendiri menjawab persoalannya.

“Hmmmm~”

Wahid mengeluh panjang sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Penatnya seharian berjalan ditambah lagi dengan masalah Aiman yang mendesaknya untuk membaca buku itu.
Namun, dia akhirnya tewas. Perlahan-lahan wahid membelek-belek buku itu, lembar demi lembar dengan keadaan posture badan yang malas sambil badannya menyandar pada kerusi. Dia masih belum merasa apa-apa yang menarik perhatiannya tentang buku itu. Semangat untuk membaca belum lagi tiba. Kini syaitan sekali lagi berjaya. Akhirnya, Wahid menutup buku itu dan terus menuju ke bilik untuk melelapkan mata. Solat Zohor tak tahu kemana, apa lagi solat asar, maghrib dan isyaknya. Begitulah rutin harian Wahid. Tidak pernah menganggap serius soal ibadah. Hanya akan dilakukan apabila didesak dan terdesak.
---------
Selimut diuraikan. Wahid meletakkan kepalanya di atas bantal dan cuba untuk melelapkan mata. Namun, otaknya masih belum berhenti untuk berfikir. Dia memusingkan badannya ke kanan dan beberapa saat kemudian, dia memusingkan lagi badanya ke kiri. Semua serba tak kena.
Otaknya masih lagi tidak berhenti untuk bertanya. Apa yang menarik sangat tentang buku tu? Apa yang istimewa sangat dengan buku tu? Kenapa dia tak boleh tenang selagi persoalannya tidak terjawab?

“Ish…tak boleh jadi kalau macam ni”

Wahid berdialog sendiri sambil bangun dari katil dan pergi mendapatkan buku itu di atas meja belajarnya yang terletak di ruang tamu.

Wahid membawa buku itu ke bilik dan membacanya sambil berbaring. Dia berharap untuk terlena setelah segala pertanyaan di mindanya terjawab.

Benarlah Aiman. Ternyata tidak sampai satu jam, buku itu dapat dihabiskan. Buku itu pada zahirnya memang tidak tebal tetapi kandungannya itu membuatkan seseorang tidak berhenti untuk terus membaca. Ada juga dia mengambil beberapa saat untuk berhenti bagi menghela nafas panjang serta memperbetulkan posisi kedudukan badan.

Tepat jam 11 malam, Wahid berjaya menghabiskan pembacaannya hanya dalam masa 45 minit. Tiba-tiba, air mata jernih terasa bertakung di hujung matanya. Perlahan-lahan ia jatuh membasahi batang hidungnya yang agak mancung. Itu bukanlah air mata yang keluar disebabkan menguap yang berkali-kali kerana menahan rasa mengantuk tetapi hakikatnya itu adalah air mata yang keluar akibat perihnya rasa sakit apabila hati ditikam berkali-kali. Buku itu sangat sentap baginya. Seperti ada kontraktor bangunan yang sedang melakukan kerja pembaikan di dalam hatinya.

Wahid mengesat air matanya sambil menerkup muka lalu mulutnya lantas beristighfar.

“Ya Allah, aku tidak jahil tetapi aku si buta yang mengejar dunia”

Kata-kata itu di petik dari buku tersebut. Diucapnya berkali-kali di dalam hati dan ternyata itu membuatkan air matanya menjadi lebih deras.

Wahid bangun dan terus menuju ke bilik Aiman. Mujur Aiman tidak mengunci pintu biliknya. Dia terus mendekati Aiman dan terus memeluknya.

Ya, hubungan ukhwah seperti ini memang jarang berlaku, ditambah lagi dengan stereotype segelintir masyarakat.

Aiman terus terjaga dari tidur apabila merasa lengannya seperti tidak dapat bernafas.

“Apppaa ni…Wahid. Lepas la, kau mimpi hantu ke apa?

“Terima kasih Man…Terima kasih….”

“Alaahai benda kecik je. Tak payah nak terima kasih pun. Lain kali kalau nak pinjam kereta aku pakai je la, aku tak kisah. Dah aku nak tidur”

“Betul Man, aku tak jahil…tapi aku buta…kau sedarkan aku”

Mendengar kata-kata Wahid, mata Aiman terus sahaja celik sepenuhnya. Aiman bangun dan duduk di katil sementara Wahid pula yang masih terduduk bersila di atas lantai.

Mata Aiman masih kuyu dan berat untuk dibuka tetapi dia kuat untuk tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Dahhhh…p tidur, nanti aku kejut qiam”

Aiman menolak kepala Wahid perlahan. Dia kembali menarik selimutnya dan mencapai telefon bimbit untuk memastikan alarm betul-betul sudah ditetapkan pada jam 3 pagi.

“Terima kasih Aiman…jangan cakap dengan sesiapa ya yang kau nampak aku nangis”

“Tidurrrr….tidurrrr….kalau tak bangun qiam, nanti aku siram air”

Wahid keluar dari bilik Aiman dan menuju terus ke bilik air untuk berwudhuk dan menunaikan solat isyak.
---------------- T A M A T ----------------

Akhirnya, hidayah datang kepada Wahid. Sesungguhnya, hidayah tak mungkin datang tanpa dicari. Bila Allah telah membuka pintu hati kita, baru kita sedar akan kejahilan diri kita. Bertapa kerdilnya kita sebagai hamba yang hidup di  atas bumi milik Allah ini.

"Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah , maka dialah yang mendapat petunjuk, dan barangsiapa disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang-orang yang rugi ". [ Al a'raf ayat 178 ]

Comments