CERPEN : Si Kambing (EDISI DONGENG KANAK-KANAK)


Cerita ini hanyalah dongeng buat kanak-kanak semata-mata. Tidak ada kaitan dengan kambing yang hidup mahupun yang sudah dikorbankan. Namun, setiap perjalanan cerita akan terkandung pengajaran yang dapat dikaitkan dengan kehidupan manusia.
SI KAMBING
Story by : Nurliyana Zolkibli

Kisah pendek ini bermula dengan kelahiran seekor anak kambing yang mempunyai rupa fizikal yang berbeza dengan kambing-kambing yang dipelihara oleh Encik Adam. Warnanya tidak sama dengan kambing-kambing yang lain dan bulunya juga sedikit lebat. Dengan kelainan yang dia miliki, membuatkan Encik Adam sangat gemar dengannya. Setiap kali datang ke kandang untuk mengurus kambing-kambingnya, Encik Adam akan mencari anak kambing ini terlebih dahulu untuk diuruskan dengan baik.

Menyusuri ke dunia haiwan, layanan istimewa itu menjadi sebaliknya. Si kambing kecil ini tidak digemari oleh kambing-kambing Encik Adam yang lain. Mereka sering mengejek kelainannya. Mereka merasa bahawa dia akan membawa nasib buruk kepada kambing-kambing di situ. Buktinya beberapa bulan selepas dia dilahirkan, 4 ekor kambing termasuk ibunya dijangkiti penyakit sehingga mereka mati. Encik Adam terpaksa menanaggung kerugian besar.

"Tengok la tu, dia sangat disayangi Encik Adam. Tapi tidak menguntungkan. Tetap juga bertubuh kecil". Kata si kambing hitam kepada rakannya.

Si kambing kecil itu hanya mendengar dengan hati yang sangat terguris. Walaupun dia disayangi tuannya, dia tetap merasa sendiri dalam hidupnya.

Suatu hari Encik Adam melepaskan kambing-kambingnya untuk menikmati kelazatan rumput-rumput segar di kawasan luar kandang. Seperti biasa, si kambing kecil itu keluar dengan perasaan riang dan kebebasan itu membuatkan dia leka merasai kelazatan rumput-rumput di situ.

Khayalannya terhenti. Dia melihat di sekelilingnya. Dia sendiri tidak tahu dimanakah dia berada dan tidak sedar sejauh mana dia sudah berjalan. Jantungnya mula cemas dan membuatkan dia terpusing-pusing mencari arah.

"Aku di mana?". Soalnya dengan nada sayu.
"Encik Adam....!!!". Dia menjerit namun tidak ada siapa pun yang akan faham kerana yang kedengaran di dunia manusia hanyalah bunyi seekor kambing.

Si kambing kecil itu cuba untuk bertenang dan berfikir. Dia memutuskan untuk meneruskan perjalanannya sehingga dia berjumpa kembali dengan Encik Adam.

Perjalannya agak memenatkan. Dengan tubuh yang kecil dan kaki yang pendek, perjalanan akan mengambil masa yang lama untuk tiba ke destinasi berpenghuni. Dalam masa 26 minit, langkahnya telah membawa dia tiba di sebuah kawasan yang hanya ada 4 buah rumah. Si kambing kecil itu memilih untuk menuju ke rumah yang juga mengembala kambing. Terdapat sebuah kandang kambing bersebelahan dengam rumahnya. Kelihatan kambing-kambing di situ cantik dan sihat.

"Mungkin aku boleh berhenti seketika di sini. Siapa tahu aku akan diberi makanan yang baik seperti mereka". Detik hati kecilnya.

Dia menghampiri kandang kambing dan terlihat seekor kambing berwarna coklat gelap juga sedang mendekatinya.

"Hai...". Si kambing kecil ringkas menyapa.

Bulu kambing di situ sangat berbeza dengan dirinya. Bulu yang berkilat membuatkan mereka kelihatan menawan. Kebersihan kambing-kambing di tempat itu juga terjaga dengan baik.

"Kamu siapa?". Soal kambing yang bersusuk tubuh lebih tinggi dari si kambing kecil.

Soalan itu membuat si kambing kecil berasa binggung untuk memberi jawapan.

"Saya...kambing". Dia memberi jawapan yang ringkas tanpa pertanyaan.

Jawapan si kambing kecil itu disambut dengan gelak tawa oleh kambing-kambing yang berada di situ.

"Hahahahah....kami juga kambing. Adakah kamu melihat kami seperti haiwan lain?".

"Tidak, saya hanya menjawab pertanyaan kamu". Si kambing kecil berasa tidak selesa berada di situ setelah ditertawakan.

"Apa kamu tidak memiliki nama? Saya bertanyakan nama kamu. Saya Donny". Si kambing coklat gelap itu mula memperkenalkan namanya.

"Apa yang kamu maksudkan dengan nama? Saya tidak pernah memiliki nama"

"Nama itu yang membezakan kita. Setiap dari kami ada rupa yang hampir sama. Tuan kami telah meletakkan nama untuk memantau rekod kesihatan kami. Dengan nama juga kami akan lebih dikenali jika melakukan sesuatu yang hebat".

Suasana senyap seketika sebelum Donny menyambung ceritanya.

"Lihat seperti Paula, si kambing berwarna perang itu. Namanya terkenal kerana dia adalah seekor kambing yang rajin dan sangat menjaga kebersihan dirinya. Tuan kami memberi layanan yang lebih buat Paula".

"Bob pula dikenali sebagai kambing yang kuat. Dia sangat kuat makan..hahah".

Suasana kandang riuh dengan gelak tawa kambing-kambing lain, sedang Bob hanya terdiam dengan hinaan itu.

"Oh lupa saya bertanya, Apakah tujuan kamu ke sini Cloud?"

"Cloud???!!". Si kambing kecil kehairanan dengan gelaran itu.

"Ya, saya akan memanggil kamu Cloud agar senang untuk saya bezakan kamu dengan kambing yang serupa dengan kamu apabila saya bertemu lagi di lain hari".

"Baiklah. Tapi ingat, saya tetap seekor kambing".

Si kambing kecil seakan trauma dengan apa sahaja yang menjadikan perbezaan adalah isu utama. Dia tidak suka dengan kelainan jika ia menjadi perkara yang akan dipersendakan.

"Sebenanya, saya kehilangan tuan saya. Saya sedang mencari jalan pulang. Tetapi, bolehkah izinkan saya untuk mendapatkan makanan dan minuman seperti kamu di sini?".

"Tuan kami tiada di rumah. Kamu boleh tunggu dia pulang jika ingin mendapatkan makanan. Tetapi tidak sesuai untuk kamu menunggu di luar kandang ini. Pergilah ke bawah pokok besar itu dan perhatikanlah jika ada lelaki menuju masuk ke rumah ini, kamu boleh datang mendekatinya".

"Terima kasih, saya akan datang kembali".

"Sama-sama".

Si kambing kecil membawa diri untuk menunggu di bawah sebatang pokok yang besar berhadapan rumah pengembala kambing itu.

Tidak sampai satu minit dia menunggu, datang seorang lelaki bersama dua orang anak kecil sambil membawa barang makanan untuk mereka sekeluarga.

Si kambing kecil berjalan menghampiri lelaki tersebut. Kehadirannya disedari oleh anak lelaki pengembala tersebut.

"Ayah...itu anak kambing". Jerit Fandy.

Encik Adward mengangkat si kambing kecil itu dan membelainya.

"Dari mana kamu datang si kambing kecil?. Pasti tuan kamu sedang mencari kamu".

Si kambing kecil berasa bahagia diperlakukan seperti itu. Hal itu membuatkan dia semakin merindui Encik Adam. Hatinya ingin segera pulang.

Encik Adward membawa si kambing kecil itu masuk ke dalam kandang miliknya untuk diberi makanan dan minuman.

"Ayah, adakah kita akan menjaga kambing ini? Bukankah dia milik pengembala lain" Soal Fandy, anak lelaki Encik Adward yang berusia 8 tahun.

"Betul, kita akan biarkan dia tinggal di sini. Memandangkan dia masih kecil dan perlukan penjagaan yang baik".

"Bolehlah saya bermain dengannya nanti". Fandy bersorak gembira.

Reaksi Fandy membuatkan si kambing kecil itu menjadi semakin khuatir.

"Aku ingin bertemu tuanku. Aku ingin segera pulang".

Suasana di dalam kandang itu jelas sangat asing buatnya.

"Hai Cloud. Selamat kembali". Si kambing Donny datang menyapa.

"Saya tidak mahu berada di sini. Saya perlu kembali mencari tuan saya". Si kambing kecil mula menangis.

"Bukankah dimana-mana tempat adalah sama buat kita. Sumber makanan yang berterusan adalah tempat terbaik untuk kita. Apa lagi yang kamu perlukan?". Donny bersuara agak tegas.

"Kamu tidak akan faham. Kesenangan yang kita perolehi bukan bermakna kita harus lupa pada siapa yang telah menjaga kita dengan baik". Tangisan si kambing kecil menjadi semakin kuat.

"Ok baik. Berhenti menangis". Donny akhirnya akur bila pendapatnya berkali-kali disangkal.

Apabila malam menjelang tiba, si kambing kecil tidak dapat merehatkan dirinya. Mindanya sarat dengan kerisauan untuk mencari jalan pulang.

"Bagaimana cara untuk aku keluar dari sini?". Bisik hatinya.

Kedengaran bunyi seperti longgokkan bongkah kayu terjatuh. Si kambing kecil berjalan di sekitar kandang itu untuk melihat apa yang telah terjadi.

Tidak ada apa yang mencurigakan.

Tiba-tiba, si kambing kecil merasa badannya diselimuti dengan kain lalu badan dan mulutnya juga dicengkam erat. Memandangkan tubuhnya kecil, dia tidak dapat bergerak sekuatnya untuk melawan.

"Haaa mana kamu nak lari si kambing kecil...". Terdengar bisikan suara yang tidak pernah didengari sebelum ini.

Dia merasa dirinya sedang dibawa lari. Matanya tidak dapat melihat apa-apa. Dia dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan. Si kambing kecil mula meronta-ronta ingin melepaskan diri namun kenderaan itu terus berjalan menjauhi kawasan kandang.

"Apa yang terjadi denganku? Siapa lelaki ini?". Mindanya mula memberikan soalan.

"Hahaha...pasti kambing ini mahal harganya. Tidak sabar aku mahu menjualnya". Kata lelaki itu.

Tiba di rumahnya, si kambing kecil diletakkan sementara di belakang rumah. Kakinya dikat kuat pada tiang kayu. Si kambing kecil hanya mampu terduduk diam menanti pagi menjelang tiba.

"Cip cip cip...". Bunyi seekor burung memecahkan kesunyiannya pada malam itu.

"Kamu siapa". Tanya si kambing kecil kepada seekor burung pipit yang hinggap pada tunggul kayu di hadapannya.

"Soalan apa yang kamu tanyakan? Sudah tentu aku seekor burung dan kamu seekor kambing". Kata burung pipit itu.

"Kamu tidak mempunyai nama? Aku fikir semua haiwan perlu ada nama untuk membuat mereka kelihatan hebat dan dikenali"

"Haiwan tidak perlukan nama. Kita sememangnya mempunyai kehebatan dan kelebihan kita sendiri. Tidak perlu dikenali ramai, cukup sekadar kelebihan itu dapat memberi manfaat pada yang lain".

Si kambing kecil berasa selesa berbicara dengan si burung pipit. Walaupun tubuhnya kecil, kata-katanya menunjukkan dia sedikitpun tidak kesal dengan keadaan fizikalnya.

"Apa yang terjadi dengan kamu?". Soal si burung pipit.

"Aku tersesat. Lalu aku dijaga oleh seorang pengembala yang baik hati namun aku tetap ingin pulang ke tempat asalku. Malang menimpa aku bila aku dicuri oleh seorang lelaki yang tidak dikenali".

"Encik Staven....dia pemilik rumah ini". Jelas si burung pipit.

"Kamu mengenalinya?"

"Ya. Dia tinggal bersama ibunya yang uzur dan 3 orang anak yang masih kecil. Isterinya telah lama meninggal dunia. Sejak menjaga ibunya yang sakit, dia kehilangan pekerjaan dan sumber makanan".

"Apa benar yang kamu ceritakan? Tidak sangka kehidupan Encik Staven begitu sukar".

"Ya, aku berada di sini sudah lama. Dulu sewaktu isterinya masih hidup aku sering diberi makan. Aku tetap akan berada di sini untuk menjaga keluarga ini".

"Kalau begitu, aku juga akan tetap di sini agar keluarga ini dapat makan dan minum dengan duit hasil jualan". Diharapkan  keputusan si kambing kecil itu tidak salah.

Keesokan harinya, si kambing kecil dibawa masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke rumah seseorang yang ingin membeli kambing.

Tiba di lokasi tujuan. Encik Staven keluar dan berbincang soal harga dengan pembeli.

"Bagaimana keadaan kambing itu?". Tanya si pembeli.

"Dia kambing yang sihat dan unik. Jika di pasaran sebenar, harganya pasti lebih mahal". Jelas Encik Staven.

"Baiklah, saya mahu tengok dahulu kambing itu".

Encik Staven kembali ke kereta dan membawa keluar si kambing kecil.

Si kambing kecil tiba-tiba meronta minta dilepaskan sebaik sahaja hampir tiba ke rumah pembeli itu.

"Encik Adammmm.....". Jeritnya kuat.

Andai sahaja Encik Adam dapat memahami teriakan itu.

Ternyata pembeli kambing itu adalah Encik Adam. Encik Adam sama sekali tidak tahu rupa kambing yang ingin dijualkan kepadanya.

"Saya seperti mengenali kambing ini. Di mana kamu temuinya?". Soal Encik Adam.

Soalan itu membuatkan Encik Staven berasa gementar. Badannya mula dibasahi keringat akibat takut perbuatannya terbongkar.

"Maksud kamu apa? Kambing ini milik saya". Kata Encik Staven yang cuba meyakinkan.

"Tidak, dia satu-satunya kambing yang mempunyai rupa seperti ini di daerah ini. Saya yang menyaksikan kelahirannya".

Si kambing kecil berjaya melepaskan diri dari dakapan Encik Staven dan dia meluru laju ke arah Encik Adam.

"Lihat, kambing ini lebih mengenali tuannya".

Encik Staven gagal mempertahankan diri. Akhirnya dia mengakui kesilapannya

"Ya benar, saya mencuri kambing ini dari sebuah rumah yang terletak di Kota dan tidak jauh dari sini. Saya terpaksa mencuri untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ibu saya sedang sakit dan tiga anak saya menanti saya di rumah mengharap makanan yang akan saya bawa pulang. Maafkanlah saya". Encik Staven menjelaskan situasinya dengan penuh penyesalan.

"Saya simpati dengan keadaan hidup kamu. Saya maafkan kamu tapi kamu harus janji tidak akan mencuri untuk mendapatkan wang. Matlamat tidak menghalalkan cara. Rezeki yang kamu bawa pulang akan menjadi haram kerana sumbernya".

"Saya sudah sedar. Saya sangat menyesalinya".

"Sudahlah. Kamu tunggu sebentar di sini".

Encik Adam masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan sesuatu buat Encik Staven.
Beberapa saat kemudian, Encik Adam membawa keluar satu beg kertas besar yang sarat dengan makanan asas.

"Saya beri kamu sedikit beras, susu dan roti untuk kamu bawa pulang. Ini juga duit buat kamu membeli makan buat esok".

"Terima kasih. Saya sangat terhutang budi dengan kamu. Saya tidak tahu bagaimana untuk membalasnya". Encik Staven tiba-tiba berasa sebak.

"Tidak apa, justeru saya yang harus berterima kasih kepada kamu kerana telah membawa pulang kambing saya yang hilang. Anggap sahaja ini ganjaran buat kamu. Kalau kamu tidak keberatan, bekerjalah dengan saya untuk membantu menjaga kambing-kambing saya".

"Saya sangat menghargai tawaran itu".

"Baiklah. Mulai esok kamu boleh datang berkerja"

Akhirnya mereka berjabat tangan dan berpelukan dengan penuh perasaan syukur.

Si kambing kecil juga akhirnya kembali semula ke tempat asalnya. Sebaik sahaja dimasukkan ke dalam kandang. Semua kambing di situ memerhatiannya dan perlahan menghampirinya.

"Maafkan kami si kambing kecil". Ucap seekor kambing hitam.

"Kami tidak sepatutnya mempersendakan kamu. Setelah kehilangan kamu kami tidak berhenti berfikir keadaan dan nasib kamu di luar sana. Syukur kamu selamat pulang".

Si kambing kecil hampir menangis dengan kata-kata yang diucapkan oleh kambing-kambing di situ. Oleh kerana mereka membesar bersama perasaan kekeluargaan dalam dirinya masih ada.

"Terima kasih semua. Saya menyayangi kalian semua. Dan Encik Adam juga. Mari kita teruskan hidup bersama".

Semua kambing bergerak rapat mendekati si kambing kecil sebagai tanda pelukan kasih sayang.

-TAMAT-

Mesti tertanya-tanya kenapa saya tidak sebut dengan terperinci warna dan ciri-ciri si kambing kecil. Kalau dalam hukum penulisan sebenar, ia menjadi kesalahan. Tapi kesalahan ini adalah disengajakan untuk bermain dengan imaginasi pendengar.

Selepas bacakan cerita ni kepada anak-anak atau kawan-kawan. Tanya kepada mereka rupa kambing yang ada dalam imaginasi mereka. Jika benar dan tepat, bermakna mereka sangat menghayati perjalanan cerita ini. Lepastu reward la mereka dengan dalgona coffee  ke, kek milo ke. Hehe.


NOTA RUJUKAN

Satu peristiwa pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid R.A beliau menceritakan bahawa telah datang seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah S.A.W berkenaan seorang yang terjumpa kambing yang hilang atau tersesat.

Lalu baginda menjawab:
هِيَ لَكَ أَوْ لأَخِيكَ أَوْ لِلذِّئْبِ
Maksudnya: Ia (kambing itu) adalah milik kamu, atau milik saudara kamu, atau milik serigala.
Riwayat Al-Bukhari (2372)

PENGAJARAN BUAT MANUSIA

1. Jangan pernah menghina dan mengutuk kekurang orang lain

2. Love yourself. Jangan berasa putus asa dengan diri sendiri. Setiap kita mempunyai kelebihan tersendiri.

3. Jangan sombong dalam hidup. Jika kita berpangkat atau mempunyai nama yang tersohor, ia tidak membezakan manusia dan darjat. Kita kekal sama (manusia dan hamba Allah)

4. Matlamat tidak menghalalkan cara. Walaupun niat kita baik tetapi cara yang salah tetap menjadikan perbuatan itu salah.

5. Carilah rezeki buat keluargamu dari sumber-sumber yang halal agar hidup sejahtera dan dirahmati.

6. Mengenang jasa seperti sikap si burung pipit.

7. Menyesali perbuatan kita dan bertaubat tidak akan mengulanginya. Sesungguhnya manusia yang berdosa lalu dia bertaubat lebih mulia berbanding muslim yang tidak pernah melakukan taubat.


GAMBAR BONUS



Keep smiling and happy staying at home
- Love from Si kambing kecil - 

Comments

Post a Comment