CERPEN : Aku Hidup
“Huhhh...”
Hakim tiba-tiba mengeluh sewaktu membaca surat
khabar. Aku yang sedang duduk di meja belajar berpaling ke arah belakang lalu
menghadapnya.
“Kau kenapa mengeluh Kim?”.
“Ni hah Mukhlis, kau baca berita dalam akhbar
ni. Macam-macam kes, kecik-kecik lagi dah buat perangai, macam mana la masa
depan budak-budak ni. Haih, tak tahu la aku nak cakap, geram pun ada.”
Aku senyum mendengar jawapan Hakim. Hakim
mungkin cuma terlalu emosi bila melihat kes-kes seperti itu.
Suasana di dalam bilik senyap seketika.
“Emm, Kim...kau nak dengar satu cerita tak?”
Hakim mengakhiri pembacaannya lalu dia melipat
surat khabarnya sebelum meletakkannya di tepi katil.
“Cerita betul ke cerita bohong?”
Aku menggerakkan sedikit kerusi sambil membetulkan
posisi tempat duduk supaya lebih selesa untuk bercerita.
“Ha, cerita ni berlaku beberapa tahun yang lalu”
Hakim mendengar dengan tekun.
“Dulu ada sorang budak....”
“Er...budak kecik ke budak besar?”
“Tak, budak tua...”
Aku ketawa. Hakim mula berkerut.
“Dengar dulu aku cerita...”
“Okay-okay”
“Kat mana aku berhenti tadi?”
“Dekat ‘budak’...”
“Ok, budak ni umur dia 15 tahun...muda lagi.
Hidup dia kalau kau tengok, pehhhh”
“Pehhhh....apa?”
“Hidup dia sangat daif. Kais pagi makan pagi,
kais petang makan esok. Macam tu la rutin kehidupan dia. Dia anak sulung dari 3
orang adik-beradik, ayahnya 54 tahun. Sudah hampir 7 tahun lumpuh seluruh
badan. Mak dia pula, umur masih 48 tahun. Bekerja sebagai penoreh getah. Itu
pun kadang banyak hasil, kadang sikit. Ada masa mak dia pergi pungut tin dan
jual. Bila dia dan adik-adiknya perlu duit lebih untuk ke sekolah mak dia akan
kerja dari pagi sampai malam”
Cerita terhenti seketika kerana tiba-tiba aku
terasa sebak.
“Mesti budak ni terdidik dengan sifat zuhud
kan, ya lah...dengan keadaan keluarga yang serba kekurangan macam ni.
Subhanallah”
Aku perlahan menggelengkan kepala untuk
menidakkan sangkaan Hakim.
“Jadi?”. Hakim seakan berfikir panjang.
“Budak tadi tidak seperti yang kita sangka. Dia
rasa penat dengan hidupannya. Hidup tak serupa hidup. Dia seolah tidak dapat
menerima semua keadaan. Kerap menyalahkan Tuhan. Dia mula lupa Tuhan dan akhirnya
dia memilih jalan hidupnya sendiri”.
“Lepastu, apa jadi?”
“Bermula usianya 15 tahun, dia mula ponteng
kelas, keluar bandar dengan kawan-kawan, mula merokok, mula kenal apa yang
dikatakan baginya kebahagian hidup yang sebenar”
Tiba-tiba, dengan serentak pandangan kami
beralih pada botol mineral kosong yang terjatuh dari atas meja dek kerana
ditiup angin yang menerpa kuat masuk melalui tingkap bilik.
“Ok, sambung balik cerita....lupakan botol tu”.
Botol yang jatuh tidak mereka pedulikan.
“Satu hari, mak dia sedang mengurus ayahnya.
Budak tadi pula keluar tanpa pengetahuan sesiapa”
“Budak tu pergi mana?”
“Jumpa Jos?”
“Siapa pulak Jos? Ikan Jos?”
“Jos ni seorang kepala gangster, orang panggil
taiko, suka songlap duit orang, kaki kitai, kaki pukul, kaki botol, kaki
perempuan, macam macam kaki la dia ada, kaki sotong pun tak banyak macam dia”
“Kenapa budak tu jumpa Jos ni?”
“Sebab dia nak duit. Apa yang dia fikir
sekarang, dia perlukan duit. Apa saja dia sanggup buat demi duit. Jadi
ceritanya, bila dia dengar Jos ni senang dapat duit, dia pun cuba la nasib
untuk menyerap ilmu si Jos ni. Agak dalam 3 hari jugak dia tak balik rumah.
Bila dah deal dengan Jos ni, dia mula belajar pukul orang, menindas, merosak
dan hampir membunuh”
“Ya Allah, teruknya budak ni. Baik tak payah
hidup kalau macam ni. Orang kata daripada hidup, lebih baik mati je orang macam
ni. Menyusahkan orang. biar dia terima la balasan azab Allah nanti. Langsung
tak bersyukur”
Aku senyum melihat Hakim yang mula emosi.
“Sabar Hakim, jangan mudah menghukum. Biar aku
habiskan cerita dulu”
Dia diam lama, sebelum kembali bertanya.
“Budak tu ada buat perkara lagi teruk ke?”
Aku menarik nafas dan kembali bercerita.
“Selepas berharian dia meninggalkan rumah,
maknya mula jatuh sakit dan dipendekkan cerita, akhirnya maknya pergi menghadap
ilahi disebabkan demam panas yang berlarutan tanpa sebarang ubat”
“Astaghfirullahalazim....budak tu tahu ke mak
dia dah meninggal?”
“Budak tu langsung tak fikir tentang
keluarganya. Sedikit pun tidak. Bagi dia, keluarganya masih kuat untuk hidup
walaupun dengan keadaan seperti itu”
Hakim menggeleng-gelengkan kepalanya tanda
kesal.
“Sejak itu, ayahnya dibawa ke pusat jagaan
rumah orang-orang tua. Walaupun ayahnya lumpuh, tidak mampu bergerak mahupun
bercakap, air mata ayahnya sentiasa mengalir sehingga membasahi bantalnya.
Bertapa runtuhnya hati seorang ayah yang tidak mampu berbuat apa-apa untuk
keluarga. Pada masa yang sama juga dia sentiasa memikirkan nasib anak sulungnya
yang tidak tahu di mana keberadaannya dan tidak tahu apa yang sedang dilakukan.
Apa yang dia mampu, adalah berdoa pada Allah agar anaknya sentiasa dilindungi.
Dan, dua orang adiknya pula dihantar ke rumah anak-anak yatim”
“Sampai hati budak ni buat mak ayah dia macam
ni. Mereka tak minta hidup susah, tapi dia langsung tak tahu apa itu erti
pengorbanan”
Nada suara Hakim semakin perlahan. Dia seperti
sedang menahan sebak di dada.
“Suatu hari dia teruk kena belasah, memang
teruk la jugak, sampai tak ada rupa orang dah”
“Kenapa dia kena belasah?”
“Dia tibai duit si Jos. Biasa la, manusia ni
bila dah nampak duit....50 sen kat celah gigi harimau pun mereka sanggup nak ambil”
Hakim ketawa kecil.
“Haha...betul. Ok, lepastu apa jadi?”
“Jadi, terbiarlah budak ni di tepi jalan lepas
kena belasah teruk. Pengsan dan bila sedar saja dia dah ada atas katil
hospital. Malam tu, ada orang jumpa dia...seorang pak cik dalam umur 50-an.
Cerita punya cerita, pakcik ni bawa dia balik rumah. Pakcik ni pun bukan orang
kaya, hidup sederhana di sebuah kampung. 34 tahun berkahwin tapi tidak
dikurniakan cahaya mata. Jadi tinggallah dia dengan pakcik ni dan isterinya.
Dan....dan....dan....bermulalah satu kisah baru dalam hidupnya. Sejak itu, baru
dia dapat tahu cerita tentang nasib keluarganya”
“Kiranya dia dah menyesal giler-giler la ni?”
“Ya, dia dah menyesal dan sedar akan kejahilan
yang dia buat selama ni. Akhirnya, setelah tinggal bersama keluarga baru tu,
hidup dia berputar 360 darjah, sangat berbeza dengan hidupnya yang sebelum ini.
Dia diberikan didikan agama sepenuhnya, makan minum dan pakaian secukupnya,
jiwanya sentiasa diisi dengan didikan dan bimbingan dari pakcik tu”
Hakim menggangguk seaakan dia faham sesuatu.
“Oh...betul la orang kata. Hidup seperti roda,
ada masa kita di bawah dan akan ada masa kita di atas”
“Betul, dan Alhamdulillah, budak tu sekarang
dah benar-benar bertaubat dan dia pun telah dipertemukan semula dengan ayah dan
adiknya pada usianya 17 tahun”
“Oh, Alhamdulillah...sekarang budak tu berapa
tahun?”
“24 tahun....Alhamdulillah, Sekarang budak tu
dah berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA kita ni”
“Eh, jadi...sebaya kita la ni? Kejap, budak tu student sini ke? Siapa? Kawan kita ke?”
“Eh...tak baik, berprasangka....apa-apapun, aku
nak tahu, apa ibrah yang kau dapat dari cerita ni.”
“Ibrah?.....hmmm, jangan pernah kita menghukum
manusia. Kita semua tak tahu apa yang akan berlaku di pengakhir hidup kita.
Mungkin, orang yang kita nampak seteruk-teruk manusia tu, boleh jadi
semulia-mulia hamba di sisi Allah S.W.T. dan mungkin akan jadi lebih baik dari
kita. Kita tidak layak nak rasa diri kita ni baik. Contoh, kita solat lima
waktu, cukup. Puasa, ngaji tak tinggal, qiam, mathurat tak pernah missed...tapi bila kita nampak orang
yang buat salah, tak tutup aurat, bergaul bebas, buat jenayah, dan sebagainnya,
kita pula yang seolah-olah ada lesen untuk menghukum. Cakap ‘Harhh dia ni jatuh
kafir, bakal diazab Allah, tak selamat hidup dunia akhirat ni’ dan macam-macam
lagi tomahan sampai nak pandang mereka pun tidak, apalagi senyum. Hidayah
adalah satu keajaiban dan anugerah paling bernilai daripada Allah S.W.T., itu
saja yang dapat aku simpulkan.”
“Betul....tak sia-sia kau ikut usrah selama ni.
Hah! jadi lepas ni, kurangkan emosi kau bila baca surat khabar. Jangan
menghentam orang sesuka hati, tanpa tak sedar apa yang kita cakap, Allah akan
uji balik pada diri kita, atau mungkin pada keluarga kita”
Hakim tunduk insaf.
“Hah pergi kutip balik botol yang jatuh tu....”
Hakim bangun dan mengambil botol mineral kosong
yang terjatuh ditiup angin semasa mereka sedang asyik bercerita.
“Kau tahu tak kenapa aku suruh kau ambil botol
ni?”
“Tah, kau suruh ambil, aku ambil la....”
“Aku nak buat ketuk kepala kau.....hahaha,
tak....sebenarnya aku nak bagitahu. Kalau botol ni kau biar kat lantai. Sampai
ke sudah tak ada yang kutip maka terkapai-kapai la ia, lalu hilang mendiam di
bawah katil dan tak seorang pun akan sedar”.
Aku cuba beranalogi. Tetapi Hakim masih
ternganga dan tidak dapat memahami analogi yang aku cuba sampaikan.
“Jadi?”. Hakim bertanya ringkas.
“Sama juga macam manusia. Bila seseorang itu
kita nampak terkapai-kapai dalam hidup, tugas kita sebagai khalifah haruslah
membimbing dia dan beri dia tunjuk ajar, bukan tugas kita menghukum, , dan
mengabaikan golongan-golongan macam mereka ni. Beri mereka nasihat-nasihat yang
baik, sepertimana di dalam Al quran Allah telah berfirman, dalam surah An Nahl
ayat 125 yang bermaksud ‘Serulah
(manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah
dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih
mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui
siapa yang mendapat petunjuk’”
“Ohhh...eh Mukhlis....tapi, tadi kau kata budak
tu student kat sini kan...cerita la
kat aku siapa dia, teringin sangat nak jumpa...nak tahu juga macam mana kisah
perubahan dalam hidup dia, mana tahu lagi banyak ibrah aku boleh dapat”
Aku senyap seketika sambil tersenyum lama penuh
makna.
“Dah, jangan banyak fikir lagi, jom ikut aku ke
masjid...kejap lagi nak masuk waktu Asar, lepastu jangan lupa ikut usrah petang
ni”
Aku mencapai kopia di atas meja dan berlalu
pergi sambil menepuk bahu Hakim yang masih asyik berfikir.
“Siapa agaknya budak tu ya...”. Hakim membebel
sendiri sambil menggaru-garu pipinya yang tiba-tiba gatal.
Aku membiarkan Hakim dengan penuh tanda tanya.
Biarlah kisah aku hanya menjadi pengajaran buat mereka. Aku bersyukur kerana
aku hidup.
– T A M A T –
Comments
Post a Comment