CERPEN : Wo Shi Musilin (I'm Muslim)


Wǒ shì mùsīlín
Story By: Nurliyana Zolkibli

“Lee Guan Tian!...Lee Guan Tian!”

Mr. Shamsul memanggil nama Guan Tian berulang kali apabila dia menyedari bahawa Guan Tian tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa dia sedang memberi penerangan.

Guan Tian akhirnya tersedar dari lamunan apabila Haidar yang duduk di sebelahnya tiba-tiba menyiku tangannya yang sedang menongkat dagu.

“Eh kenapa?...”. Guan Tian terpinga-pinga.

“Mr. Shamsul panggil kau tu…” Dengan pen di tangannya, Haidar menunjuk ke arah Mr. Shamsul yang masih merenung Guan Tian di hadapan.

“Eh…Haa ya Mr. Shamsul..Sir…Sir…tanya saya soalan ke?”. Guan Tian, tergagap-gagap sambil tersenyum malu.

“Kamu menghayal ya?”

“Tak Sir, saya…saya…sebenarnya saya…”

“Haa, sudah…saya nak jumpa kamu lepas kelas ni. Datang ke pejabat saya”

“Baik Sir. “. Guan Tian akur dengan nada yang sayu.

Pembelajaran diteruskan semula seperti biasa namun Guan Tian tetap berasa hambar. Segala apa yang diajar susah untuk melekat masuk kedalam otaknya. 

Fikirannya melayang-layang sehingga keluar menembusi langit menuju ke galaksi.

------------

Selesai kelas, Guan Tian perlahan-lahan mengemaskan bukunya. Haidar tiada kerja lain selain memerhati. Dia ingin sekali bersuara untuk menanyakan apa yang sedang dialami oleh Guan Tian sehingga menyebabkan prestasi pelajarannya semakin menurun. Namun, lidahnya terasa berat untuk bertanya kerana dia yakin Guan Tian pasti tidak mahu untuk bercerita tentang masalahnya kepada semua orang.

“Guan, nak aku teman kau jumpa Mr. Shamsul ke?”. Haidar membuat tawaran.

“Tidak perlulah…Aku boleh pergi sendiri. Kau pergi la makan dulu”. Guan Tian menolaknya dengan baik.

“Ok..jumpa kau di café nanti”

“Ok..”. Guan Tian memikul begnya lalu dia beredar meninggalkan Haidar.

-----

Tiba di hadapan bilik Mr. Shamsul. Guan Tian teragak-agak untuk memulas tombol pintu bilik itu. Mahu atau tidak, dia harus tetap melakukannya.
Sebelum dia membuka pintu, dia mengetuknya terlebih dahulu dan menunggu arahan untuk masuk ke dalam.

“Ya..Masuk…”

“Sir…”. Guan Tian menundukkan sedikit kepalanya.

“Haa kamu Guan Tian, duduk…”

“Ada hal apa Sir memanggil saya?”

“Macam ni la Guan Tian. Saya bukan nak mempersoalkannya, tapi bila difikirkannya, saya tertanya-tanya kenapa prestasi pembelajaran kamu semakin menurun? Kamu ada apa-apa masalah ke?”

“Tak ada apa-apa Sir. Mungkin saya kurang mengulang kaji. Maaf la, saya agak lalai dan leka”

“Betul kamu tak ada masalah? Jangan malu untuk bercerita, sampai bila kita nak lari dari masalah tanpa menyelesaikannya. Kalau tak ada yang tahu, tak mungkin kita dapat menyelesaikan masalah kita sendiri tanpa bantuan”

“Baik lah Sir. Saya masih belum bersedia untuk menceritakan kepada sesiapa. Tapi saya akan cuba menyelesaikannya”

“Hmm.. saya pun tak boleh nak memaksa kamu, kamu ambil la masa untuk tenangkan diri. Bila kamu sudah bersedia, ceritalah dengan sesiapa yang kamu yakin dapat menyelesaikan masalah kamu. Pilihlah sahabat yang betul-betul baik dan dapat membantu kamu”

“Ya Sir. Terima kasih….”

“Sama-sama…sekarang kamu boleh balik, tapi saya mahu kamu jangan terlalu fikir tentang masalah sehingga menjejaskan pembelajaran kamu ya”

“Saya akan cuba yang termampu…terima kasih sekali lagi Sir”

Guan Tian meminta diri untuk beredar. Sepanjang perjalanan menuju ke café, Guan Tian tidak berhenti-henti memikirkan apa yang dikatakan oleh Mr. Shamsul.

//”Patut ke aku cerita masalah aku ini kepada Haidar?”//

Hatinya berbicara sendiri.

----------

*Tit…tit*

Guan Tian mengeluarkan hanphone di poket seluarnya lalu membaca mesej yang diterima.

#“Guan, aku ke surau dulu, dah masuk waktu…kau tunggu je aku di café, nanti aku datang balik”#

Tanpa membalas mesej tersebut, Guan Tian meneruskan perjalanannya menuju ke café.

Sementara menunggu Haidar, Dia minum segelas air teh tarik ais untuk menghilangkan dahaganya.

“Hey, Guan…”

Haidar menyapanya dari belakang sambil menepuk bahunya.

“Eh...”. Guan tersenyum tawar kerana dia tidak mampu tersenyum sedang masalah masih menghantuinya.

“Guan…kau ok tak ni?”. Haidar semakin tertanya-tanya.

“Ok la….aku ok…tak ada apa la…”. Raut wajah Guan terus berubah. Dia seperti sedang berusaha memyembunyikan reaksi wajahnya yang sedang bermasalah.

“Guan, kalau ada masalah….kau cerita je dengan aku. Aku ok je…”

“Sebenarnya aku ada masalah peribadi. Tapi janagnlah risau, aku boleh selesaikannya”.

“Betul? Kau yakin?”

“Ya..aku yakin. Haa sudahlah, tak perlu kita bahas soal tu lagi, mari makan..perut aku dah lapar”

------------

Suatu hari, Guan Tian baru sahaja pulang dari kuliah manakala Haidar hanya menghabiskan masa di rumah kerana kuliahnya pada hari itu telah dibatalkan.

Membuka sahaja pintu rumah, Guan Tian melihat dua orang lagi rakan serumahnya, Fakhrul dan YiFan sedang khusyuk belajar.

“YiFan.. Ni yao chī fan ma?”. Guan Tian men ghampiri YiFan.

Wǒ chī fan le. Ni you me you chī?”

“Yao.. Wǒ chī mian pa”. Guan Tian menjawab jujur.

Mian pao? Eat some rice lorh, You looks so thin”

“Haha..hao laaa.... Oh, Haidar nǎ lǐ?”.

Wǒ bù zhīdào”. YiFan menjawabnya ringkas.

Setelah itu, Guan Tian mengalihkan pandangannya ke arah Fakhrul dan mengajukan soalan yang sama.

“Fakhrul.. Haidar mana?”

“Ada dalam bilik agaknya dia tu. Tadi aku nampak dia solat”

“Oh sudah lama ke dia solat?”

“Lama dah, ni kejap lagi nak masuk isyak. Kenapa kau cari dia?”

“Aha.. tak ada la. Eh, sambung baca buku tu sambung”

Guan Tian berjalan menuju ke biliknya dengan langkah yang agak keletihan. Tiba di hadapan biliknya, tiba-tiba Guan Tian terdengar suara yang sangat menenangkan hatinya yang datangnya dari bilik Haidar.

Perlahan-lahan, Guan Tian memghampiri pintu bilik Haidar dan meletakkan telinganya rapat di hadapan pintu. Sambil memejamkan matanya, jiwanya terasa tenang mendengarkan alunan bacaan Al-Quran itu.

Hati Guan Tian tertanya-tanya akan melodi apakah itu yang telah membuatkan jiwanya terasa tenang dan tidak bercelaru. Guan Tian tidak rasa yang jiwanya sedang dibebani masalah.

“Eh, Guan, hang buat apa?”. Azmi baru sahaja keluar dari bilik lalu dia terlihat kelakuan Guan Tian yang aneh.

“Haa, tak ada apa la”. Guan Tian bergegas masuk ke dalam biliknya.

Azmi terkedu sambil mengerutkan sedikit keningnya. Dia lantas mendekatkan telinganya ke pintu bilik Haidar. Setelah mendengar bunyi alunan Al-Quran yang dibaca oleh Haidar, Azmi mengangguk-anggukkan kepalanya lalu dia tersenyum tanda faham.

------------

Setelah masuk waktu isyak, Guan Tian masih termenung bersendirian di dalam bilik. Makan pun tak lalu apa lagi untuk mendapatkan tidur yang lena. Guan Tian mencapai buku Business Law dan mencuba untuk membacanya. Namun usahanya itu gagal. Hati Guan Tian tiba-tiba tergerak untuk berjumpa dengan Haidar dan cuba untuk menceritakan tentang masalahnya.

-----------

Perlahan-lahan, Guan Tian membuka pintu bilik Haidar. Pada masa itu, Haidar masih belum selesai menunaikan solat Isyak. Guan Tian meneruskan niatnya dan dia duduk di atas katil Fakhrul iaitu rakan sebilik Haidar sementara menunggu Haidar selesai menunaikan solat.

Guan Tian memerhatikan setiap tingkah laku Haidar sepanjang menunaikan solat. Hatinya mula tertanya-tanya tentang islam dan dia tiba-tiba tertarik untuk mengetahuinya.

Selesai Haidar menunaikan solat, Haidar terkejut melihat Guan Tian yang memerhatikannya. Dia tidak tahu sejak bila Guan Tian boleh berada di dalam biliknya.

“Eh Guan, bila masa kau masuk ni?”

“Dah lama. Kau tak perasan tadi?”

“Mana la aku nampak, kan aku tengah solat tadi”

“Haa aku ada benda nak cakap ni”

“Apa dia? Cakap la”. Haidar selamba sambil melipat sejadah dan meletakkannya di hujung katil.

Guan Tian tiba-tiba tidak jadi untuk menceritakan masalahnya. Dia mencari idea lain untuk diperkatakan.

“Sebenarnya, apa yang kau baca lepas maghrib tadi?”

“Oh, itu ke? Itu adalah bacaan Al-Quran. Dalam islam, Al-Quran adalah kitab kami iaitu petunjuk kepada segala kebenaran”

“Kebenaran?”. Guan Tian tiba-tiba tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Haidar.

“Ya…”. Haidar hanya tersenyum. Dia teragak-agak untuk memberi penerangan kerana dia khuatir akan membingungkan Guan Tian yang masih tidak mengerti.

“Boleh ke kita tahu segala kebenaran?”. Guan Tian masih tidak putus dengan soalan yang kian bermain di dalam fikirannya.

“Boleh Guan…hmm aku nak tanya, adakah kau tanya semua ni sebab kau tertarik nak kenal islam?”

“Aku sebenarnya tertarik dengan apa yang kau baca tadi. Kenapa aku rasa tenang dan jiwa aku tak rasa seperti dibelenggu masalah?”

“Itulah kehebatan Al-Quran. Haa nanti ada masa aku cerita kat kau kalau kau betul-betul berminat nak tahu”.

“Ok…sorry kalau aku ganggu waktu kau”

“No hal lah…”

--------------

Tengah hari pada hari jumaat, Guan Tian akan sentiasa duduk di kerusi yang berada di bawah pokok. Waktu seperti ini, Guan Tian lebih suka bersendiri kerana semua rakan-rakannya yang muslim pergi ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Guan Tian kurang bergaul dengan rakan sebangsanya kerana mereka semua lebih suka berada di dalam hostel menghabiskan masa bermain game dan belajar.

Tiba sahaja di tempat yang biasa dia duduk, Guan Tian ternampak sebuah buku di atas kerusi itu.

//“Eh, buku siapa pula ni”//

Guan Tian bercakap sendiri. Lama dia membelek-belek buku itu namun tidak ada nama pemilik yang ditulis pada buku itu. Guan Tian tertarik untuk membaca buku itu walaupun dia sendiri tidak tahu tentang apa buku itu. Buku yang bertajuk “7 hari mengenal Dia” itu menimbulkan tanda tanya dalam fikirannya.

//“Buku apa ni? Kisah cinta? Motivasi? Atau apa?”//

Guan Tian membaca satu bab yang sangat menarik perhatiannya iaitu bab yang bertajuk “Selamatkan Aku”. Guan Tian terasa tajuk itu sangat dekat dengan dirinya tambahan lagi dengan masalah yang sedang dia hadapi.

-----------

Guan Tian pulang ke hostel. Dia tidak sampai hati untuk meninggalkan buku itu terbiar di kerusi. Dia membawa pulang buku itu dan berharap agar dia dapat memulangkan semula buku itu kepada pemilik sebenar.

“Eh Guan, baru balik? Dari mana?”. Haidar yang sedang duduk di ruang tamu bertanya sebaik sahaja Guan Tian membuka pintu.

“Aku duduk bawah tadi”. Guan Tian menjawab ringkas sambil tersenyum.

Perbualan mereka tidak berterusan kerana Guan Tian terus masuk ke bilik tanpa berkata apa.

Beberapa minit kemudian, Guan Tian keluar semula dari bilik dan duduk di tempat Haidar.

“Eh..kau ni dah kenapa?”. Haidar tersenyum melihat kelakuan Guan yang semakin lama semakin pelik.

“Aku nak tanya kau ni. Tapi kau janji jangan cakap dengan sesiapa yang aku tanya kau soalan ni”.

“Hah nak tanya apa? aku akan simpan rahsia kau, jangan risau la”

“Betul ke kalau kau sembahyang, hati boleh rasa tenang?”

Haidar terdiam seketika dan perlahan-lahan mengukirkan senyuman di wajahnya. Dia sudahmengagak bahawa Guan Tian pasti akan bertanya soal agama.

“Betul Guan. Bila kau sembahyang dengan penuh khusyuk, kau akan dapat rasa 
jiwa yang sangat tenang. Tak ada dunia dalam fikiran kau melainkan Allah”

“Allah? Itu tuhan kamu?”. Guan Tian masih dengan persoalan.

“Ya…Tuhan kami Allah. Dia lah yang menciptakan alam ini, dan setiap mahkluk dalam dunia ni. Dia lah yang maha berkuasa”

“Siapa pula Nabi Muhammad?”

“Baginda adalah Rasulullah iaitu pesuruh Allah”

“Aku nak tanya kau pasal buku ni. Aku tak faham, tapi aku nak tahu”. Guan Tian menyerahkan buku yang dijumpainya tengah hari tadi.

“Eh Guan, mana dapat buku ni?”. Haidar kehairanan.

“Aku jumpa buku ni, ada orang tinggalkan kat bawah sana”

“Oh, mungkin dia terlupa. Takpe la aku boleh cerita, tapi lepastu kita mesti pulangkan buku ni”

Guan Tian hanya mengangguk faham.
Haidar rancak menceritakan tentang keindahan islam kepada Guan Tian. Dia rasa inilah masanya untuk dia menyampaikan dakwah sepertimana yang dituntut dalam islam. Guan Tian khusyuk mendengar segala yang disampaikan oleh Haidar.

Sehingga ke larut malam mereka rancak bercerita. Guan Tian juga tidak kurang persoalanya. Semakin banyak perkara baru yang diketahui maka semakin banyak pertanyaan di dalam fikirannya.

------------

Beberapa hari kemudian. Guan Tian terasa sedikit tenang dan Haidar banyak membantunya mengurus segala masalah. Dia juga dapat mengurangkan beban yang selama ini mengusutkan pemikirannya.

“Haidar, boleh aku tanya lagi?”

“Tanya apa? tanya je la”

“Macam mana kalau aku nak jadi islam?”

Haidar tersenyum beberapa saat sebelum dia menjawab pertanyaan Guan Tian.

“Kau betul nak masuk islam dengan rela hati?”

Guan mengangguk yakin.

“Ok, nanti aku bawa kau ke satu tempat. Lepas ni…kau free tak?”

“Ok, aku free..”

Haidar membawa Guan ke jabatan agama untuk diislamkan dan kini Guan Tian secara rasminya telah menjadi saudara baru islam.

------

Amar! Amar!
Guan Tian masih tercari-cari suara yang memanggil nama itu. Matanya terbuka kecil, masih terasa berat untuk bangun.

“Amar! Bangun…dah masuk waktu subuh ni. Jom siap, kita jemaah kat surau”
Amar?

Guan Tian tersenyum dalam lena. Dia baru teringat akan nama barunya sebagai seorang islam. ‘Amar Fazree bin Abdullah’…ialan nama yang dipilih sendiri oleh Haidar untuk sahabatnya.

“Hey Amar, dengar tak ni? Bangun…asal senyum-senyum? Kau ok tak ni?”

“Ya…aku bangun la ni”. Guan Tian duduk di tepi katil dengan muka yang lesu tidak bermaya.

Beberapa minit kemudian, Haidar, Fakhrul, Azmi dan Guan menuju ke surau dengan motosikal masing-masing untuk menunaikan solat subuh. Sudah hampir 3 minggu Guan Tian bergelar islam. Jiwanya betul-betul bersemangat untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana dia dapat rasa satu perubahan yang sangat bermakna buat dirinya.

“Amar…aku balik dulu ya. Lepas ni kau nak belajar Iqra’ dengan ustaz kan? Aku ada kelas nanti jam 8, tak boleh teman kau lama kat sini. Banyak benda tak setel lagi”. Haidar berbisik perlahan kepada Guan yang telah mesra dipanggil Amar.

“Ok..kau balik dengan siapa?”

“Aku balik dengan Azmi. Fakhrul dah jalan dulu tadi, nak ke tandas katanya”

“Oh, ok lah aku boleh balik sendiri nanti”

Haidar berlalu pergi meninggalkan Guan sendiri. Sementara menunggu ustaz tiba, Guan Tian tidak berhenti-henti membasahkan bibirnya dengan zikir dan selawat.

---------

Setelah ustaz tiba di surau, Guan membuka Iqra’ untuk memulakan pembacaan. Namun belum sempat dia membuka mulut, seorang lelaki menerpa masuk ke dalam surau dalam keadaan yang termengah-mengah sambil memaggil nama ustaz.

“Eh eh…Azmi, kamu ni dah kenapa? Kena kejar dek hantu ke?”. Ustaz bertanya kehairanan.

“Ustaz…”. Azmi masih tidak dapat berkata apa-apa.

“Cuba bawa bertenang Azmi, tarik nafas dan cakap perlahan-lahan”

“Macam ni ustaz, kawan saya…kawan saya Haidar..kemalangan kat depan sana”
Guan Tian terkaku dan dia seakan sedang bermimpi.

“Abis tu sekarang macam mana?”. Ustaz mula menunjukkan kerisauan.

“Diorang dah hantar ke hospital”

“Haa kalau gitu, mari kita ke hospital sekarang”

Ustaz menepuk bahu Guan Tian untuk mengajaknya sekali. Guan Tian masih tidak boleh menerima kenyataan. Dia sedang meyakinkan dirinya bahawa dia sedang bermimpi.

-------------

Tiba di hospital, Doktor telah mengesahkan bahawa Haidar telah pun meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital akibat cedera parah di kepala.

Guan Tian telah terdengar segala kenyataan. Dia mencubit lengannya sekuat hati dan berharap dia tidak merasa sakit.

“Tidak Guan…semua ini mimpi…”

Dia tetap ingin menafikannya walaupun lengannya yang dicubit terasa sangat sakit. Air matanya menitis perlahan.

-------------

“Amar…kau nak ke mana?”. Fakhrul menegur Guan Tian yang sedang memakai kasut untuk keluar.

Amar membiarkan pertanyaan itu tidak terjawab. Dia terus mengambil topi keledarnya dan keluar meninggalkan Fakhrul.

Sudah seminggu pemergian Haidar, namun, Guan Tian masih tetap menyalahkan takdir.

“Aku tak faham dengan semua ini? kenapa orang yang baik harus mati?”

Guan Tian melepaskan perasaannya sambil duduk di kerusi tempat biasa dia beristirehat.

“Sebab Allah itu maha pengasih dan penyayang”

Guan Tian terdiam sebaik sahaja mendengar suara yang tidak diketahui datang dari mana?

Ternyata Fakhrul mengikutinya dari belakang kerana dia bimbang akan sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada Guan Tian apabila melihat keadaannya yang semakin merisaukan.

“Kau buat apa kat sini?”. Guan Tian tunduk untuk menyembunyikan kesedihan.

“Amar…tak payah la nak sembunyikan perasaan tu dengan kami. Kalau kau sedih, kami pun rasa sedih dengan kepergian Haidar. Sebab dia pun sahabat kami”

“Tapi aku tak faham….kenapa Allah mengambil orang-orang yang baik? Kenapa tidak penjenayah-penjenayah di luar sana?”

“Tu sebab aku cakap Allah tu maha pengasih lagi penyayang. Dia sayang dengan orang-orang yang baik macam Haidar tu dan dia juga sayang dengan hamba-hamba-Nya sebab tu la Dia beri peluang kepada setiap manusia untuk bertaubat”

Guan Tian tetap tunduk tanpa berkata apa.

“Sebab tu la kita mesti redha dengan apa yang Allah tentukan. Kita tak boleh nak menyalahkan takdir. Kita tak tahu apa yang Allah rancang untuk kita…yang hidup ni mestilah teruskan hidup”

“Ok, aku dah faham sekarang…Cuma aku perlu sedikit masa untuk terima”

“Lebih baik, banyakkan beristighfar dan mengingati Allah. Aku yakin kau akan lebih faham”. Fakhrul menepuk bahu Guan untuk menenagkannya.

-------------

“Amar…kematianku adalah takdir-Nya. Kau harus meneruskan hidup dan raihlah cinta-Nya”. Haidar memandang wajah Guan Tian dengan pandangan yang redup dan sedikit tersenyum.

“Tapi…aku tak tahu jalan mana yang harus aku tuju”. Guan Tian masih terduduk kaku.

“Pergilah kamu ke majlis-majlis ilmu, tuntutlah ilmu dnegan kemahuanmu, ingatlah bahawa Allah akan sentiasa bersama orang-orang yang berakwa”. Bayangan Haidar berlalu pergi dengan senyuman.

Guan Tian terus tersedar dari lenanya lalu dia tunduk dan beristighfar.


-TAMAT-

Comments