CERPEN : Aku Hanya Pengembala



Aku Hanya Pengembala
Story By: Nurliyana Zolkibli

Aku tahu la aku ni bukan orang kaya kalau nak dibandingkan dengan dia. Anak ketua kampung, kereta pun beli sendiri, rumah pun serupa istana, semua jenis akaun bank pun dia ada. Aku ada juga semua akaun bank cuma isinya je yang kadang ada kadang tak ada. Kalau nak cerita pasal pendidikan, SPM je yang aku ada. Memang jauh nak dibandingkan dengan dia yang lepasan diploma. Siapa la aku ni kalau nak dibandingkan dengan dia. Aku malu sebenarnya nak berhadapan dengan dia.

“Eh, bro…termenung jauh nampak. Hang fikir apa? nampak tekun sangat ni”. Seorang sahabat menyapa aku dari belakang.

“Haha Wan, tak ada apa la Wan. Aku fikir tentang kehidupan aku”.

“Apa cerita?”. Wan ni memang banyak tanya. 

“Wan, aku ingat nak buat bisnes la”.

“Bisnes pa dia?”,

“Jual kambing…”

“Hang ada modal ka?.

“Ada tu ada, tapi tak banyak. Tapi cukup lah kalau nak beli 5 ekor kambing sebagai permulaan”.

“Bagus jugak Idea hang tu. Kalau sungguh la hang nak niaga, aku buleh tolong”.

“Tapi aku kena rancang dulu benda ni elok-elok, takut tak jadi apa nanti”

“Ha’ah…betui tu”

//Azan asar berkumandang//

Semua Jemaah di dalam masjid itu bersiap sedia untuk menunaikan solat asar berjemaah termasuk aku dan Wan.
-
-
Selesai solat asar berjemaah, aku mencari-cari Wan tapi batang hidung Wan pun aku tak tahu dah ke mana. Laju betul mamat tu menghilang. Biasa la orang berkerjaya ni, kerja pun kat kota, jarang dapat balik kampung. Wan dan aku sejak kecil membesar bersama. Panjat pokok rambutan, terjun mandi sungai, rembat ayam pak mail, main lompat tikam, dan macam-macam la kerja gila zaman dulu kala. Dulu aku dengan Wan ni memang macam belangkas. Tapi bila usia makin meningkat, masing-masing mula sibuk. Nasib Wan beruntung berbanding aku, lepas sahaja tamat SPM dia ikut abangnya ke kota dan peluang dia mencari kerja di sana memang terbuka luas.

“Hafiz!”. Baru sahaja kaki ingin melangkah menuju ke pintu agar surau, tiba-tiba namaku diseru.

Haaa…tok imam rupanya. Kenapa dia panggil aku? aku ada terambil serban dia ke?

Hafiz memegang kepala untuk memastikan yang dia betul-betul memakai kopiah dan bukan serban

“Eh, tok imam…kenapa?”

“Mai sini sat Hafiz”.

Rasa berdebar pulak bila tok imam panggil ni, rasa macam nak kena akad nikah. Haha nak tak nak, aku terus berpatah balik ke surau.

“Ye tok…ada hajat apa?”. Aku menyusun ayat dengan baik.

“Kita duduk sini sat. Kamu ada hal ke lepas ni?”.

Tok imam ajak aku duduk kat tepi pintu sebelah tangga.
Dalam hati aku cakap, orang tua-tua dulu kata kalau anak dara tak baik duduk kat tepi tangga, nanti tak laku kahwin. Nasib la aku ni anak teruna ye tok imam.

“Saya tak ada urusan apa-apa lepas ni. Paling-paling pun saya balik rumah dan 
pergi tengok-tengok kebun”.

“Oh, sekeja je tok nak caka ni. Macam ni Hafiz, tok dengar kamu nak niaga jual kambing kan?”

Eh, dari mana tok imam tahu aku nak bisnes ni?. Ni tak ada kerja lain la ni, mesti dari mulut Wan. Laju betul berita sampai.

“Ye tok…saya baru je cadang nak buat. Mula pun belum lagi”

“Bagus la, sebanarnya kebetulan, tok ingat nak jual kambing tok ni. Tok ingat nak berhenti la berniaga sebab tak ada orang yang nak tolong jaga kambing tu semua. Anak-anak tok pun semua dah kerja kat kota. Tok nak urus sendiri pun dah tak larat”

“Tapi tok, kambing-kambing tok tu banyak. Modal saya sikit je ni”

“Tak apa Hafiz, buat permulaan ni, kamu beli beberapa ekor dulu, yang lain tu kamu tolong jagakan untuk tok. Tok akan bagi upah, nanti kalau modal kamu dah banyak, kamu boleh beli semua kambing tok”

Ehmm…aku fikir, betul jugak kata tok imam ni. Allah dah bagi aku jalan. Mungkin ini petunjuk dari Allah atas niat aku tadi.

“Armmm, baik la tok, saya setuju…Insha’Allah saya akan jaga amanah ni sebaik mungkin”

“Bagus la kalau macam tu, kamu rancang dulu sebaik mungkin. Insha’Allah semoga Allah permudahkan segala urusan kamu”

“Terima kasih tok imam, kalau macam tu saya balik dulu. Nanti saya jumpa tok lagi untuk mula urus niaga”
-
-
Aku balik dengan hati yang senang, riang dan girang. Langkah kakiku seakan berirama seperti tarian si bujang lapok. Namun langkahku itu tiba-tiba menjadi perlahan sebaik sahaja melihat sebuah kereta Myvi biru di hadapan menuju ke arahku. Satu-satunya Myvi biru di dalam kampung ini adalah milik Aisyah.

Adoiiiii, dalam perjalanan balik pulak aku terjumpa Aisyah. Macam mana ni, nak 
patah balik ke surau ke atau nak teruskan perjalanan. Ya Allah, kuatkan lah hati aku ya Allah. Harap-harap Aisyah tak perasan aku lalu kat sini. Hati mula berdebar bila kereta semakin hampir. Rasa macam nak cabut jantung ni bila getarannya sangat membunuh.

Hafiz menundukkan pandangannya dan menganggap seolah-olah dia tidak melihat kelibat kereta Aisyah. 

“Fuhh...lepas jugak, harap-harap dia tak perasan aku lalu tadi”
-
-
Sebaik tiba di rumah, aku terus mencari adik aku. Dia lah satu-satunya adik aku yang setia temankan aku menjenguk kebun arwah abah.

“Haziq….Haziq…”

Adik aku ni baru darjah 2 tapi dah ramai peminat. Peminatnya bukan yang sebaya dengan dia, tapi yang seangkatan umur dengan mak aku. katanya molek dijadikan menantu. Maklumlah, segak macam aku…eheh

“Abang, nak ajak ke kebun ke?”. Si tubuh kecil itu berlari ke arahku sambil memegang cekodok pisang yang sudah digigitnya.

“Ha’ah, jom…kita cari jantung pisang sekali, esok boleh suruh mak masak lemak jantung pisang”

“Cantek…hoohoo”

Hafiz menghidupkan enjin motornya sementara menunggu adiknya mencari seliparnya yang terlempar di bawah rak kasut

“Dah jumpa ke seliparnya?”

“Daaahhh”. Sambil berlari ke arah Hafiz.

“Bang, nak duduk depan bang”.

“Eheh budak ni, dah tahun dua dek, bukan dua tahun. Kalau duduk depan kang parang ni abang nak letak mana?”. Sambil menunjukkan parang yang diletakkan di bakul motor.

Haziq muncung sedepa. Dia terus memanjat atas motor dan duduk di belakang. Motor dibawa dengan kelajuan yang sederhana untuk menikmati pemandangan di sekitar kampung. Haziq memeluk belakang abangnya dengan kuat sambil jari-jari kakinya mencengkam selipar yang dipakainya kerana ianya agak besar dari saiz kakinya dan kemungkinan boleh tercicir jatuh.
-
-
Sampai sahaja di kebun arwah abah. Hafiz berjalan di hadapan manakala Haziq terus mengekorinya dari belakang

“Hati-hati ziq…”

“yerr…”

Tiba di bahagian tanaman sayur kacang panjang, Hafiz mengeluarkan plastik dari poket seluarnya dan memasukkan kacang panjang yang sudah betul-betul masak.

“Abang tengok ni….”. Haziq berdiri di kawasan tanaman terung dan cili.
Hafiz berhenti memetik kacang panjang dan terus beralih ke tempat adiknya.

“Astaghfirullahaladzim”. Hafiz terkejut melihat semua tanaman terung dan cili di situ musnah walaupun terdapat terung dan cili yang sudah elok untuk dimakan.

“Abang! ni mesti kerja orang yang dengki dengan kita”

“Tah la ziq, kita pun tak boleh nak tuduh sesiapa. Anggap je la semua ni angkara haiwan”

“Tapi kita kan dah pasang pagar, haiwan mana boleh masuk”

“Tak apa la ziq, ini ujian Allah buat kita. Dah…dah…tolong abang kemas semua ni. 

Esok abang pergi pekan cari biji benih yang baru”

Aku tak ada la nak tuduh sesiapa. Walau siapa pun yang buat, ini dah memang ujian untuk aku. Semoga Allah datangkan yang lebih baik suatu hari nanti
-
-
Hari semakin senja, akhirnya siap jugak aku buat kerja kat kebun dan dapat juga aku bawa balik seberapa banyak sayur yang sudah masak dan boleh dijual. Tambah lagi, aku dapat jantung pisang yang diidam-idamkan, esok boleh la suruh mak aku masak lemak berlada.

“Haziq, jangan cerita dengan mak tau pasal kebun tadi”

“Kenapa?”

“Diam-diam je la….nanti darah tinggi mak naik”. Aku berbisik perlahan pada Haziq.

“Ok..boss!”

“Dah, pergi mandi. Nak ikut abang pi surau tak?”

“Nak….”
-
-
Keesokan paginya aku ke pasar untuk mencari biji benih sayur dan menghantar sayur untuk dijual. Masa aku nak beli biji benih kat kedai nyonya yang aku biasa beli tu, aku ambil la biji benih terung dengan cili. Bila aku nak bayar, nyonya tu bagi free je kat aku.

“Eh nyonya, mana boleh. Nanti kamu tidak untung ma”

“Saya suda banyak untung, kamu kan suda biasa beli sama saya. Tidak apa tidak apa”

“Betul ni nyonya?”

“Betul-betul…kamu boleh angkat saja itu, tak payah bayar”

“angkat? macam ni?. tak boleh bawa balik ke? Hehe”. Aku angkat plastik biji benih tu ke atas, haha saje je aku nak buat gurau dengan bahasa melayu nyonya ni.

“kamu ni lagi mau main-main sama saya…haha ambil saja la, bawa pulang”

“ok ya nyonya…terima kasih banyak-banyak”

Aku pun balik rumah. Duit jualan sayur pun aku dah dapat, biji benih pun aku dapat free. Alhamdulillah, rezeki untuk aku hari ni. Eh. Baru aku teringat, tentang projek mengembala kambing aku tu. Petang ni la aku jumpa tok imam.
-
-
Petang selepas asar, seperti biasa Hafiz rajin solat di surau. Waktu tu juga kesempatan Hafiz untuk berjumpa dengan tok imam

“Tok imam, Assalammualaikum”

“Eh, waalaikummussalam Hafiz”

“Tok imam sihat?”

“Dah kamu nampak tok kat sini…ye sihat la. Kamu ni Hafiz”

“Hehe…takde la, saja tanya. Haa macam ni tok imam….”

“Apa? kamu nak kawin ke?”

“Eheh tok imam ni, haha bukan macam tu tok…haritu kan kita ada cerita pasal kambing tok imam. Saya dah sedia nak uruskan tu”

“Haha, tok tahu, saja nak berseloroh dengan kamu. Hah, kalau macam tu, mari ikut tok tengok kandang kambing tu”

“Oh, baiklah…”

Aku pun ikut la tok imam ni. Aku ingat tok imam ni jalan kaki je ke surau. Rupanya-rupanya dia naik motor. Bukan calang-calang ni, motor RAZ belakang surau tu rupanya tok imam punya. Tak sangka betul aku.

“Hah, kamu nak ikut ke tak ni? Ke kamu nak jalan kaki? Rumah tok tu bukan dekat macam almari dan katil kat bilik kamu”

Aku tercegat lama sebelah motor tu. Tok imam pula dah mula start enjin. Nak tak nak, aku kena naik jugak sebab rumah tok imam agak jauh dan  memang wajar la dia naik motor kuasa tinggi supaya sempat sampai surau tepat pada waktunya untuk mengimamkan jemaah. Aku peluk belakang tok imam tu kuat-kuat. Laju memang laju, memang brutal la tok imam ni.

Akhirnya sampai juga kat rumah tok imam. Aku memang dah lama tak pergi rumah tok imam. Bila tengok rumah dia memang nampak sangat air muka jakun terpancar kat muka aku. Memang cantik walaupun tak besar mana, macam ada nur kat situ. 

“Hafiz, ikut tok..sini…”

Aku pun ikut tok imam pergi satu kawasan yang agak tidak jauh dari rumahnya. Kat sini rupanya kandang kambing tok imam. Kambingnya pun tak la banyak sangat. Ada dalam belas-belas ekor je. Mampu agaknya kalau aku nak urus sendiri.

“Hah, ni la dia kandang kambing tok. Tak lah besar seperti yang kamu bayangkan”

“Kira ok la ni tok, sihat-sihat lagi kambingnya”

“Jadi macam mana kamu punya perancangan?”

“Saya dapat beli 4 ekor kambing tok je. Dan yang lain saya ambil upah untuk jaga”

“Ok, baik la kalau macam tu…nanti kamu buat la satu lagi kandang kambing kat sebelah sana. Kosong je tanah tu. Kamu tempatkan lah 4 ekor kambing kamu tu buat sementara”

“Eh, tak apa ke tok?”

“Tak apa. nanti senang sikit kamu nak jaga”

“Baiklah tok, terima kasih banyak-banyak”

“Sama-sama. Tok nak terima kasih juga kat kamu sudi tolong jagakan kambing tok ni…esok kamu boleh mula kerja?”

“Insya’allah, boleh tok…”

“Bagus la kalau macam tu. Duit kambing yang kamu beli tu, masukkan je ke akaun tok. Nanti tok bagi nombor akaun”
-
-
Selesai pun segala urusan aku untuk hari ini. Esok awal-awal pagi lagi aku akan ke kebun untuk tanam benih sayur baru, selepas itu baru aku akan ke kandang kambing untuk uruskan kambing tok. Fuh, busy betul dah aku sekarang. Tapi mak aku selalu pesan ‘tak apa fiz, buktikan kat semua orang yang anak mak pun boleh berjaya’. Hah, touching betul ayat-ayat mak aku ni bila diingat balik.

“Hafiz….”

“Ye mak…”

Sedang duduk mengelamun di tepi tangga sambil menghirup udara malam, tiba-tiba suara mak aku memanggil. Panjang betul umur mak aku. Baru je aku cakap pasal dia.

“Ni, tolong mak ni nak….”

“Apa dia mak?”

“Bacakan ni, mak tak nampak…”

“Itu la mak, orang suruh beli cermin mata, mak tak nak…”

“Membazir je la…”

Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Betul-betul mak berkeras tak nak beli cermin mata. Rabunnya dah tak tahu teruknya tahap berapa.

Aku ambil kertas dari tangan mak aku dan bacakan untuk dia.
Dettt…detttt…..dede….detttttt…aku baca dulu sebelum terangkan kat mak aku.

“Oh, ni surat tanah ni mak. Ada orang mohon nak beli tanah abah”

“Hah…tak usah la layan. Mak tak akan jual tanah pusaka abah engko tu”

“Betul tu, dia ingat kita nak ke jual tanah tu?...langkah mayat Hafiz dulu kalau sampai dia berani nak ugut suruh jual”

“Aish…Hafiz ni, jangan emosi sangat”

“Ehehe, takde la mak, Hafiz buat gimik je tadi tu”

“Gimik la sangat, dah jangan nak duk termenung depan tangga malam-malam ni. Tak adanya jodoh nak lalu malam-malam buta macam ni”

“Eh emak ni…ke situ pulak”

“Ea la, engko tu dah 25 tahun, umur pun dah lanjut nanti mana ada lagi yang....”

“Ehhhhh…mak…mak dengar tak bunyi tu?”

“Bunyi apa?”

“Ada lipas tengah gaduh. Hafiz kena pergi leraikan pergaduhan”

“Macam-macam la ko ni Fiz. Ada je alasan bila mak cakap asal kahwin”

“Hehe...hafiz masuk tidur dulu ya mak, tata..selamat malam”

Fuh, berdezup aku lari masuk bilik. Helah aku berhasil. Ni kalau nak dengar ceramah mak aku pasal bab kahwin ni, memang tak akan abis sampai ke anak cucu. Huh, teringat pulak kat hati aku yang sedang berbelah bagi ni. Patut ke aku berterus terang? Rasa macam sakit bila disimpan perasaan ni lama-lama. Ya Allah, Engkau berikan lah aku petunjuk-Mu kepada hamba-Mu yang lemah ini ya Allah.
-
-
Keesokkan harinya, aku ke kebun untuk tanam biji benih baru. Hari ni aku tak bawa adik aku Haziq, sebab dia ke sekolah. Terpaksa la aku bercangkul-cangkul buat batas sendiri. Bila aku dah sampai kat sana, aku tengok lagi kali ni tanaman sawi yang jadi mangsa. Ya Allah, angkara siapakah semua ini. Hati memang marah tapi aku mesti sabar. Aku yakin, Allah tidak akan memberikan ujian yang melebihi dari kemampuan hamba-Nya. Aku rasa aku mampu lagi hadapi semua ni. Aku bersihkan semua tanaman yang rosak dan aku buat batas untuk tanam biji benih yang baru.
-
-
Tiba di kandang kambing. Emosi aku semakin stabil bila aku tengok kambing-kambing yang montel, comel-comel, sihat lagi berkhasiat. Eheh lebih-lebih pulak.

Masa aku sampai sana, aku jenguk-jenguk jugak rumah tok imam. Nampak macam tok imam tak ada kat rumah. Rasanya mungkin tok imam dah ada kat surau, motor RAZ nya  pun tak ada. Aku buat kerja permulaan aku sebagai pengembala kambing dengan membersihkan kandang kambing. Sekarang baru aku faham kenapa anak-anak muda sekarang ramai yang tak minat nak buat kerja-kerja macam ni. Kalau najis kambing ni wangi macam bunga ros, mungkin 24 jam pun diorang sanggup duduk dalam kandang ni. Haaa ni la Hafiz, terimalah kerja kau sebagai pengembala kambing, cuci kandang kambing. Bau pun dah macam kambing.

Beberapa minit kemudian. Sebuah kereta Vigo berhenti di hadapan rumah tok imam.

Rasanya dia nak cari tok imam agaknya. Aku dah tak boleh nak buat kerja, duk perhati je siapakah gerangan tetamu yang datang tu.

“Assalammualaikum…”. Orang tu memberi salam di hadapan rumah tok imam.
Aku tak boleh nampak jelas sangat. Mungkin aku ni ada rabun sikit, tempias genatik mak aku agaknya. Agak lama aku duk perhati, nak pergi dekat, rasa segan la pulak, dah la aku bau kambing.

Setelah lama dia berdiri di depan rumah tok imam, dia nampak aku yang duk perhati dia dari jauh. Ah sudah, dia datang mai dekat aku pulak dah. Aku pun beriya-iya la menyental lantai kandang tu. Nampak la sikit yang aku ni buat kerja, tak lah duk perhatikan dia je dari tadi.

“Assalammualaikum…anak muda”

“Waalaikummussalam….”

Laaa...ketua kampung rupanya yang datang. Memang sah la aku ni rabun tahap gaban. Ketua kampung pun aku tak boleh kenal dari jauh.

Tiba-tiba pulak aku rasa nervous bila bakal bapa mertua angan-anganku ada di depan mata.

“Eh, kamu......Hafiz kan?”

“Ya saya. Pak Karim nak cari tok imam ke?”

“Ya…kamu tahu ke dia ke mana?”

“Saya tak tahu, agaknya tok ke surau kot. saya ni pun baru je sampai”

“Kamu kerja sini ke?”

“Ye Pak Karim, saya tolong-tolong mana yang patut. Isi masa lapang, cari duit lebih”

“Bagus la kalau macam tu. Tok imam pun dah tak larat nak urus kandang ni sendiri. 
Jarang ada anak muda kat kampung ni yang nak buat kerja-kerja macam ni”

“Hehe…”

Aku mampu tersengeh je tunjuk gigi. Darah gemuruh aku ni makin menjadi-jadi. Belum lagi aku nak masuk meminang anak dia. Kalau ikutkan hati, nak je aku luahkan perasaan kat bapak dia ni. Tapi nasib baik la aku ni masih waras.

“Ok, tak apa la kalau macam tu. Saya minta diri dulu la ya”

“Baiklah Pak Karim….hati-hati”
-
-
Hari yang seterusnya. Seperti biasa aku pergi ke pasar untuk beli biji benih sawi untuk ganti tanaman sawi yang dah rosak. Bila aku sampai pasar, aku dapat lagi biji benih sawi free.

“Eh nyonya, dah dua kali ni nyonya bagi free. Saya tak nak nyonya rugi nanti”

“Saya dengan kamu nak berkira apa? selalu kamu beli barang dengan saya kan”

“Saya serba salah la nyonya…”

“Tak apa la….angkat saja sudah la”.

“Angkat macam ni nyonya?”. Aku saja buat gurauan yang sama lagi. Nyonya tu senyum je.

“Lain kali, datang lagi..kalau kamu beli banyak, baru saya suruh kamu bayar”

“Ok la nyonya yang budiman…terima kasih ya nyonya, saya angkat macam ni?”. 

Aku terus letak plastik biji benih tu atas kepala sambil berlalu pergi. Nyonya tu gelak sakan.

Apa-apa pun semua ni rezeki Allah. Itu agaknya berkat kesabaran aku. Lepas pergi beli biji benih, aku terus pergi ke kebun untuk menanam biji sawi itu. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Bila aku tiba di kebun, sekali lagi aku melihat tanaman yang rosak. Aku seperti nak terduduk kat situ. Aku mula tertanya-tanya angkara siapakah semua ini. Aku istigfar banyak-banyak supaya kemarahan aku tak datang. Aku pergi ke paip di sebelah pondok untuk berwuduk supaya api kemarahan aku dapat dipadamkan. Setelah berwuduk, aku duduk termenung di pondok. Apa yang sebenarnya berlaku ni? Sampai bila kebun ni nak dirosakkan? Adakah angkara orang yang menginginkan tanah arwah abah? Aku betul-betul tak habis fikir semua ni. Tiba-tiba aku teringat kata-kata adik aku yang memaksa aku untuk melapor dengan ketua kampung. Tapi bila aku fikir balik, rasanya tak perlu perkara ni sampai ke pengatahuan ketua kampung. Buatnya kalau pelaku tu tahu, nanti esok lusa dia bakar kebun aku ni. Jadi, aku buat keputusan untuk siasat sendiri siapa yang buat semua ni, dan biar aku sendiri yang beri pengajaran dengan orang tu.
-
-
Setelah selesai dengan kebun, aku pergi pula menguruskan kandang kambing seperti biasa. Kali ni, tok imam ada di rumah. Sedang aku memberi makan kambing-kambing tu, tok imam datang menyapa aku dari belakang tanpa aku sedar.

“Tekun betul anak muda ni….”

“Eh, tok…haha tak ada la tekun sangat, kerja biasa ni…”

“Esok ada orang nak datang beli kambing, kamu siapkanlah mana kambing yang elok untuk dijual ya”

“Baiklah tok…oh eya tok, semalam Pak Karim ketua kampung tu cari tok”

“Ya, saya baru sahaja jumpa dia semalam di surau, memang besar hajat dia tu”

“Hajat?...hajat apa tu tok?”

Tiba-tiba pula kadar nadi dan denyutan jantung aku meningkat bila dengar apa yang tok imam sampaikan. Hajat apa yang besar sangat tu?

“Biasa la, kalau ada orang nak risik-merisik, pinang-meminang ni, memang akan cari tok?”

“Merisik? Meminang?”

Terkejut aku seolah nampak kingkong yang tengah goncang menara Paris. Tengah aku bagi makan kambing, habis aku tertonyoh rumput kat muka kambing tu, mengembek-ngembek la kambing tu jawabnya.

Maaf la kambing aku tak terniat nak buat macam tu dengan kau. Tapi aku betul-betul terkejut, jantung pun dah berdegup laju macam kereta F1.

“Yang kamu ni dah macam kena kejutan elektrik kenapa?”

“Tak ada apa la tok…erh, siapa yang nak merisik siapa tok?

“Tok pun tak tahu siapa yang nak merisik. Pak Karim ajak tok pun sebab nak ikut adat, main pantun-pantun ni. Tok kan juara pantun kat kampung ni. Jadi kalau nak terima ke atau tolak pinangan ke, sedap sikit la dengarnya kalau berpantun, takde la ayat tu pedih sangat kalau pinangan kena tolak”

“Oh, macam tu ye tok? Ingatkan ketua kampung nak suruh tok imam terus akad nikahkan”

“Haha….Hafiz…Hafiz…kalau ye pun nak kawin, kena la ikut adat juga…step by step…bukan datang rumah orang terus kahwin”
-
-
Balik je rumah, aku memang tak senang duduk. Nak tidur lagi la tak boleh. Agak-agak boleh haus lantai papan kat bilik aku tu sebab aku kehulur-kehilir tak berhenti-henti. Siapa yang boleh duduk senang kalau gadis pujaan hatinya nak diambil orang. Memang boleh kusut fikir pasal ni. Memang aku rasa macam sekarang jugak nak lari pergi rumah ketua kampung. Ish, aku ni dah kenapa? Huh tenang Hafiz, tenang….watlek watpeace Hafiz.

Malam ni aku baru teringat tentang misi siasatan aku untuk menyiasat siapa punya angkara yang berani merosakkan kebun aku. Hah, dengan tekat yang cemerlang, jitu, lagi padu, aku ketepikan dulu soal hati dan perasaan aku. Malam ni, aku mesti tangkap pelaku yang merosakkan kebun aku tu.

Hafiz bergegas menukar kain pelekat dan baju melayunya kepada pakaian serba hitam supaya kehadirannya tidak dapat dikesan. Hafiz baru sahaja ingin keluar dari bilik, tetapi sebelum tu dia membuka sedikit pintu biliknya untuk memastikan maknya tiada di luar. Ah sudah!, mak tengah tengok maharaja lawak mega la pulak. Ni kalau ditunggu memang jam 11 atau jam 12 baru habis. Macam mana aku nak keluar kalau mak nampak aku serba hitam macam orang minyak ni.

“Ahaaaa….”

Hafiz mengambil kain pelekat dan menutup badannya. Dia dapat menutup badannya sahaja walaupun kakinya masih kelihatan. Dia berharap, ideanya berhasil.

“Haa Hafiz, nak ke mana tu? Selimut-selimut dengan kain pelekat lagi, berstokin hitam, engko demam ke apa fiz?”

“Tak ada la mak, hafiz nak keluar dulu ye mak, nak pergi rumah Ridhwan ada hal sikit. Ni selimut-selimut sebab Hafiz kan naik motor, angin malam ni sejuk, maklum la mak…motor Hafiz takde tingkap nak tutup, aircon dia asli”

“Hah, macam-macam la engko hafiz…dah, nanti jangan balik lambat..mak kunci pintu biar ko tidur luar”

“Ok mak!”

Nak tak nak, memang aku tidur luar la jawabnya malam ni. Maaf mak, Hafiz terpaksa tipu untuk malam ni. Sebab Hafiz tak nak mak tahu hal yang sebenar pasal kebun tu. Ok, sekarang masanya aku mesti memulakan misi. Kena cari port yang strategik supaya penjenayah tu tak dapat kesan kehadiran aku.

Aku menyorok la kat belakang pokok sebelah pondok tu. Nasib baik la pokok tu besar. Beberapa minit kemudian, dalam jam 9 malam. Dua orang yang tidak dikenali datang masuk ke kebun dengan memanjat pintu pagar. Habis la aku kalau diorang ni tahu silat. Aku ni dah la sorang, meraka tu dua orang. Aku ni kalau nak kata silat, silat gayung pun aku tak lepas, langkah pun sumbang. Ah! tak apa la, aku tawakal je la. Aku tunggu masa yang sesuai untuk aku menyerang.
-
-
Beberapa minit menunggu, masanya telah tiba, aku terus meluru ke arah mereka dan dengan pantas aku menendang salah seorangnya dari arah belakang. Hah akhirnya, walaupun tak ada ilmu silat, tersungkur lagi tertiarap juga orang tu aku kerjakan. Jatuh macam nangka busuk. Ni yang sorang lagi, macam nak tak nak je lawan dengan aku. Dah la aku berabis buat gaya macam orang pandai silat ni. Tepuk lutut, tepuk siku, ah hantam saja la labu.

Tapi akhirnya mereka berlutut depan aku minta maaf. Aku berhenti buat aksi-aksi yang melebih-lebih tu. Pelik pun ada jugak. Kenapa diorang tak lari? Kenapa minta maaf?. Oh mungkin Allah bagi hidayah lepas kena tendang dengan aku tadi kot. Ah..husnuzon je la.

“Maafkan kami….tolong jangan apa-apakan kami”

“Kamu berdua ni siapa?”

“Kami sebenarnya disuruh untuk lakukan semua ni”

“Tapi kenapa kamu minta maaf?” 

“Kami tidak tahu nak berbuat apa, kami disuruh buat semua ni tapi kami dilarang untuk mencederakan kamu”

Aku semakin-semakin la bingung. Dah la kepala aku pening nak fikir tentang Aisyah. Tambah lagi dengan perkara yang banyak sangat persoalan macam ni.

“Siapa yang suruh kamu buat semua ni?”

“Anak ketua kampung”

“Apa? Siapa?”. Aish, apa lagi ni? bagi la aku faham apa sebenarnya semua ni.

“Cik Aisyah…dia suruh kami buat semua ni. Maafkan kami tuan”
Kaki aku memang tiba-tiba jadi tak kuat. Kalau nak kata sebab langkah silat aku yang sumbang tadi, memang tak mungkin. Tapi lutut aku betul-betul rasa lemah bila dengar perkara yang sebenar. Nak percaya atau tak, aku masih dalam kebingungan. Aku terus terduduk di hadapan mereka.

“Dah, kamu berdua boleh balik…”

“Tuan dah maafkan kami?”

“Ya, saya maafkan…jangan lakukannya lagi”

“Terima kasih tuan..”

Dah sekarang siapa nak angkat aku yang dah terduduk ni. Kaki aku memang rasa lemah. Hati aku memang tak boleh nak kata apa. Aku rasa kecewa dan tertanya-tanya kenapa Aisyah buat aku macam ni? Dia benci sangat ke dengan aku? Dia ada dendam ke dengan aku? Aku ada buat salah paling besar ke sampai dia buat aku macam ni? Tolong la aku ya Allah, sesungguhnya hamba-Mu ini sangat lemah.
Hafiz pulang ke rumah dalam jam 10 malam. Nasib baik maknya tidak mengunci pintu. Dia balik dengan muka yang sedikit pucat. Otaknya terlalu banyak berfikir, hatinya terlalu banyak memberikan perasaan sehingga dia berasa sangat lemah.
Bila jam menunjukkan pukul 3 pagi, hafiz terbangun kerana dia tidak dapat tidur lena memikirkan beban yang ada dalam fikirannya. Hafiz bangun untuk menunaikan solat sunat dan dia juga menunaikan solat istikharah untuk mendapatkan jawapan yang terbaik dari Allah atas kekeliruan dalam hatinya.
-
-
Keesokan harinya, Hafiz gagahkan diri untuk pergi bekerja seperti biasa. Sekejap dia termenung sekejap dia bekerja. Hafiz menjadi tidak menentu.

//Mengalirlahhhh air mata mukmin,aaatau meeengalir air mata hatinya…//
(Telefon Hafiz tiba-tiba berdering)

“Assalammualaikum…”

“Waalaikummussalam…Hafiz”

“Hah Wan…lama tak nampak kau kat surau. Kau ke mana je?”

“Aku tak ke mana la, ada lagi kat kampung ni. Sibuk la sikit”

“Oh, apa hal telefon aku ni? Aku tengah kerja sekarang”

“Macam ni fiz, aku ada berita tiba-tiba ni nak habaq kat hang ni. Mak ayah aku nak merisik Aisyah untuk aku hari ni. Jadi aku nak mintak kau sebagai sahabat baik aku dunia akhirat. Doakan la aku. Aku tengah nervous gila ni”

Aku terkaku seketika. Wan…? Kau ke Wan, orang yang buat aku bagai nak gila. Orang yang buat aku tak menentu. Orang yang buat aku tak lena tidur. Rupanya kau lah orangnya Wan. Kawan baik aku sendiri.

“Erhh…fiz, hang masih dalam talian ke ni?”

“Ahaa..ye ye…aku doakan untuk kau. Cayok cayok…ah, ok la Wan...nanti free aku jumpa kau, sekarang aku tengah kerja”

“Oh, maaf la fiz, aku ganggu kau. Sebab aku tak tahu nak cakap kat siapa. Ok fiz, jumpa nanti…asslammualaikum”

“Waalaikummussalam…”

Apa ni Hafiz…apa yang patut kau buat sekarang? Kau simpan je la perasaan kau tu sampai mati Hafiz. Tak mungkin kau nak khianati sahabat kau sendiri.
Tapi aku masih tertanya-tanya kenapa Aisyah sanggup upah orang untuk rosakkan kebun aku?

Sudah lah Hafiz. Mungkin ada hikmah. Aku cuba pujuk diri aku supaya tidak bersangka-sangka buruk terhadap Aisyah.

Aku sentiasa ada Allah. Allah sahaja yang faham perasaan aku di saat ini. Ya Allah sesungguhnya perancangan-Mu adalah lebih baik dari apa yang aku rancang. Berikanlah apa yang  terbaik buat aku dan sahabat baikku Ridhwan. 
-
-
Beberapa hari kemudian, kebun Hafiz sudah tidak mengalami kerosakkan lagi. Mengenangkan peristiwa itu, hati Hafiz masih lagi teringatkan Aisyah. Kenapa terlalu sukar untuk dia lupakan semua yang berlaku. Adakah mungkin sebab dia masih memerlukan jawapan dari persoalannya.

Petang itu aku tidak ke kebun. Aku mengambil keputusan untuk berehat sehari bagi menenangkan apa yang sedang bercelaru di dalam fikiran aku. Selang beberapa minit kemudian, sebuah kereta Vios berhenti di hadapan rumah aku.
Hah, Wan rupanya, walau apa pun berita yang dia ingin sampaikan aku akan terima dengan hati yang terbuka.

“Assalammualaikum Hafiz, hai…termenung jauh nampak, dah macam anak dara duduk tepi tangga…haha”

“Kau ni Wan, kalau tak merepek sehari memang tak sah”

“Hahah…bukan selalu pun kan. Eh makin kurus aku nampak hang ni. Hang sakit ka?

“Tak la, aku banyak exercise…aku duk sental kandang kambing, mana tak kurus”

“Hah, tu la Fiz…kalau gemuk pun hang tak hensem. Haha…ni nak dengaq cerita tak ni?”

“Pasal meminang tu?”

“Tu dia aku nak habaq mai ni, aku hati banyak kecewa la sekarang ni”

“Kenapa?”

“Pinangan aku ditolak la”

“Kenapa?

“Sebab…sebab ditolak la”

“Ye la…apa sebabnya?”

“Mana la aku tahu, Aisyah yang tak nak terima aku, aku nak buat lagu mana lagi?”

Aku rasa macam ada sinar harapan. Aku pun tak tahu kenapa aku masih menyimpan perasaan dengan Aisyah walaupun dia dah buat macam-macam dengan kebun aku. Dan patut ke aku cerita dengan Wan tentang hal yang sebenar tentang perasaan aku dengan Aisyah? Aku rasa Wan patut tahu.

“Ah Wan, aku nak cerita kat kau ni”

“Cerita apa?”

“Macam ni…sebenarnya, aku…”. Aku kembali terkedu.

“Awat hang berhenti cakap? Cerita la pasai apa?”

“Aku sebenarnya…dah lama suka dengan Aisyah”

“Apa?”

“Haa Wan...kau jangan la marah kat aku ya. Aku tahu kau memang akan marah kat aku. Aku susah nak luahkan perasaan aku kat sesiapa. Aku tahu siapa aku, tak setanding dengan Aisyah”

“Macam ni ke kawan?....”

“Kau marah kat aku ke? Maaf la. Tapi bila aku dapat tahu kau nak pinang Aisyah, aku redha demi kawan aku”

“Memang aku marah sangat dengan hang, kenapa hang tak habaq kat aku dari awal lagi. Kalau tak, aku tak akan biar mak ayah aku pi meminang dia. Kalau dibuatnya Aisyah tu terima, macam mana aku nak maafkan diri aku yang sebenarnya dah hancurkan hati kawan baik aku sendiri?”

“Jadi, kesimpulannya ni, kau tak marah kat aku?”

“Macam ni la, apa kata hang pula yang cuba masuk meminang. Mana tahu, aku boleh tahu sebab apa dia tolak pinangan aku”

“Eh, tak berani la aku…kalau kau yang berkereta ni pun ditolak, apa lagi aku yang Cuma pakai motor EX5 yang exzos asap hitam ni”

“Belum cuba belum tahu Fiz…”

“Aku tak tahu la Wan, nanti la aku fikir”

“Jangan lama sangat fikir, nanti meleas lagi aku tak dapat nak tolong”

Hah, kalau aku cerita kat Wan tentang kerosakan kebun aku tu ada kaitan dengan Aisyah. Itu sama juga macam aku buka aib dan kejahatan yang Aisyah buat. Tapi aku betul-betul nak tahu kenapa Aisyah buat aku macam tu. Dia seorang yang baik, taat perintah ibu bapa, kurang pergaulan dengan lelaki, aurat dan akhlak terjaga. Aku tak boleh nak percaya yang dia sanggup buat kerja macam tu. Patut ke aku jumpa dengan dia? Tapi tak manis pulak nanti kalau orang pandang. Dia pun mesti tak nak jumpa aku.

“Eh, kau ada urusan ke esok? Jom mancing. Lama dah aku tak pegang joran ni”

“Emm...esok boleh kot lepas aku urus kambing kita mancing”

“Ok cun. Kalau macam tu aku balik dulu la Fiz. Lapar ni, aku rindu masakan mak aku walaupun baru beberapa minit.. haa jangan lupa ya apa yang aku cakap tadi, masuk meminang Aisyah, jangan dilambat-lambatkan perkara yang baik”
-
-
Setelah kelibat Wan menghilang, aku masuk ke dalam untuk berehat. Aku menuju ke bilik dan berbaring di atas lantai. Nak baring atas katil pun sama saja, aku tak dapat merasakan tilam yang empuk dan selesa selagi masalah dalam kepala aku ni tak selesai.

“Hafiz….ohh Hafiz…”

Baru beberapa detik aku merenggangkan tulang belakang, suara nyaring mak kedengaran. Mak panggil ni mesti nak suruh aku bacakan sesuatu untuk dia.

“Ya, mak…”

“Ni, ada orang datang nak jumpa ni…”

Eh, siapa pulak nak jumpa aku ni? Takkan la Wan datang lagi…baru je kejap tadi jumpa.

“Siapa dia mak? Wan ke? Suruh dia masuk, Hafiz kat bilik ni”

“Keluar la nak Hafiz oi, jangan la malas sangat”

“Ye la…kejap…”. Aku gagah berdiri dengan langkah yang layu.

Aku bangun dan keluar dari bilik…

“Eh Aisyah…”.

Kali ni pula aku terkejut yang teramat. Betul ke Aisyah yang aku nampak berdiri depan mata aku ni?

“Hafiz, Aisyah datang ni sebab nak bagitahu sesuatu…”

Aku betul-betul tak boleh nak kata apa. Aku yang selama ni tak pernah bercakap sepatah pun dengan dia tiba-tiba dia datang nak cakap sesuatu dengan aku. 

Tenang hafiz, cool.

“Haa, duduk lah Aisyah…”

Mak aku ke dapur untuk membancuh air. Aisyah bersama adik perempuannya yang berusia belasan tahun duduk di kerusi dan aku duduk berhadapan dengannya menanti apa yang akan dikatakan.

“Aisyah tahu, Hafiz dah tahu tentang kebun tu…”

Allahhu, aku boleh lupa pasal hal tu. Lama aku fikir apa benda yang dia nak cakap. Hafiz…Hafiz…kau memang la angau.

“Kenapa Aisyah buat macam tu?”

“Sebenarnya, Aisyah ada sebab nak buat macam tu. Aisyah tahu Hafiz sukakan Aisyah sebab adik Hafiz bagi surat-surat yang Hafiz tulis”.

Surat? Ya Allah surat tu…patut la hilang. Aku dah sorok baik dalam tin biskut marrie, boleh pulak budak toyol ni ambil haaa.

HAZIQQQQQQQQQ…memang nak kena budak ni. Aku hanya mampu menjerit dalam hati. Kenapa la aku dapat adik yang senakal ini. Ya Allah, malunya aku. Apa aku tulis kat dalam surat tu? Aku pun tak ingat. Tapi memang agak memalukan. Haihh malunya aku dia baca semua apa yang aku tulis. Sebenarnya surat tu aku saja tulis untuk meluahkan perasaan aku yang penat aku pendam. Tak ada niat pun nak bagi dengan Aisyah.

“Sebenarnya, surat tuHafiz taka da niat pun nak bagi. Hafiz tulis saja-saja je. Tak sangka pula Haziq...”. Aku tak sanggup nak teruskan kata-kata sebab malu yang teramat.

“Tak apa, Aisyah cuma nak bagitahu hal sebenar kenapa Aisyah rosakkan kebun Hafiz. Sebenarnya, Aisyah nak tengok tahap kesabaran Hafiz. Aisyah yang bayarkan duit biji benih sayuran yang Hafiz beli dari nyonya tu. Aisyah tunggu Hafiz datang rumah dan mengadu dengan ayah tentang kerosakan kebun tu, tapi Hafiz tak datang mengadu malah Hafiz cari penyelesaian sendiri. Aisyah tahu Hafiz sedang bersabar. Apa-apa pun Aisyah datang ni nak minta maaf atas semua yang Aisyah dah buat. Aisyah silap, sebenarnya apa yang Aisyah buat ni semuanya salah dan tak patut”

“Sebenarnya Aisyah….”

Belum sempat aku nak habiskan ayat aku, tiba-tiba mak aku datang bawa air dengan kuih karipap yang baru digoreng tadi. Aroma karipap berinti kari keledek tu memang sangat menyelerakan. Tapi aku harus selesaiakan persoalan ini sebelum menyumbat kariap itu ke dalam perut aku.

“Eh, susah-susah je makcik ni…”

“Tak apa la Aisyah…tak susah pun. Haa cerita apa ni? Ada yang makcik perlu tahu ke?”

“Sebenarnya makcik….”

“Erhh…mak, sebenarnya Aisyah nak beli kambing…haa kambing mak..eh bukan, kambing tok imam…”

Aku bagi signal kepada Aisyah supaya tidak menceritakan hal kebun itu kepada mak.

Aisyah hanya tersenyum faham.

“Satu lagi, sebenarnya Aisyah nak minta maaf juga dengan Hafiz dan makcik pasal surat permohonan tanah tu”

“Surat tu….?”. Tiba-tiba aku teringat balik gimik yang aku buat lepas baca surat tu.

“Ya cik…surat tu sebenarnya dari Aisyah. Makcik, Aisyah tak bermaksud pun nak beli tanah tu. Aisyah minta maaf makcik”

“Tapi kenapa Aisyah buat surat tu?”. Otak aku tak habis lagi dengan soalan.

“Err...sebenarnya....”. Agak lama untuk Aisyah menyambung kata-katanya

"Tak apa la Aisyah, benda dah lepas". Mak aku tenang sahaja mengakhiri topik perbincangan.

“Hafiz pun dah lupakan semua tu. Permohonan maaf Aisyah, Hafiz terima”

“Sah!!!....”.

Mak aku tiba-tiba bersuara seakan saksi nikah.

“Apa pulak yang sah mak?”

“Tak...,,,karipap mak ni, memang sah sedap. Eh jemput la makan Aisyah nanti sejuk dah tak sedap”

“Baik makcik”

Fuh, aku dah faham sekarang. Dan adakah ini maksudnya Aisyah terima aku seadanya? Cia cia...eh nampaknya hati dah terubat. 

Kalau adik aku balik rumah nanti, siap la dia. Aku nak tonyoh-tonyoh muka dia, pusing-pusingkan dia macam gasing baru aku sayang-sayang dia bagai menatang minyak yang penuh dan belanja dia ais krim padel pop seminggu. Kalau bukan sebab kenakalan dia curi surat rahsia aku, Aisyah tak mungkin buat semua ini untuk menilai kesabaran aku.

Aku ingat nak tanya dia ni kalau sudi terima lamaran aku…tapi aku tak tahu nak susun mukhadimah macam mana….try la.

“Sebenarnya…. Aisyah…kalau…sebenarnya..terima ke kalau Hafiz….”

Aishhh..apa aku melalut ni? Kata-kata aku membuatkan Aisyah tergelak kecil.

“Tapi, Hafiz bukan orang kaya, Hafiz hanya pengembala kambing…”

“Bahagia sesorang itu bukan dilihat pada harta, tapi pada keimanannya”.

“Ehemmm...”. Mak aku berdehem kecil. Mak tersenyum sambil merenung tajam memandang tepat ke mataku. Seram sejuk sebenarnya dengan pandangan mak tu.

“Makcik, Aisyah minta diri dulu la ye. Nak ke bandar beli barang, terima kasih banyak makcik. Aisyah minta maaf atas segala tindakan Aisyah yang dah buat makcik risau”.

Tangan mereka saling berjabat erat dan sejuk hati aku melihat kemesraan mak dan Aisyah.

“Sama-sama Aisyah, senang-senang nanti datang la lagi ye. Makcik suka Aisyah datang sini, kat rumah pun makcik sorang-sorang tak ada kawan nak ajak sembang.”

“Insha’Allah, Makcik. Saya balik dulu ya Hafiz.”

Setelah Aisyah berlalu pergi, mak tiba-tiba mencubit pinggang aku. Perh, pedihnya yang amat.

“Yang Hafiz tersengih-sengih ni kenapa? Ada ke duit nak khawin dengan anak orang?”

“Hehe, InsyaAllah ada…”.

“Dah, pergi cari adik kau, suruh balik makan. Sudah-sudah la tersenyum-senyum tu, macam tak siuman mak tengok”

“Ye, memang nak cari pun budak bertuah tu....siap dia, main tak ingat nak balik”.

Mak saja nak mengusik aku yang sedang dilanda bahagia. Terima kasih Allah yang telah memudahkan segalanya. Aku sentiasa percaya, ada ganjaran dibalik kesabaran.
-
-
Selesai pun semua masalah aku. Sekarang baru aku rasa lapang sikit dada ni, jiwa pun tenang lepas dah tahu hal yang sebenar. Rupa-rupanya makcik nyonya tu tak bagi aku free, dia pun kena upah rupanya. Banyak betul pelakon-pelakon ekstra dalam cerita hidup aku yang merumitkan ni.

Kata-kata Aisyah tu buat aku terfikir yang harta memang tak semestinya buat kita bahagia. Yang penting niat bahagia untuk mendapatkan keredhaan Allah. Ya Allah, Engkau tetapkan lah iman ku Ya Allah, dan permudahkanlah segala urusanku.
-TAMAT-

Comments